
PEJABAT Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda, Kedah mengesan kluster Penyakit Seperti Influenza (ILI) dalam kalangan pelajar sebuah institusi pendidikan di daerah tersebut pada 23 April lalu.
Kluster itu melibatkan 28 kes daripada 158 pelajar yang terdedah, dengan kadar serangan 17.7 peratus.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan, enam daripada 28 pelajar itu disahkan positif Influenza A dan menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani sebelum dibenarkan pulang.
BACA LAGI : Kluster wabak misteri dikesan di Yan, lebih 30 pelajar sekolah dijangkiti
BACA LAGI : [VIDEO] Guru maut ketika beraksi di litar lumba Melaka
"Manakala 22 lagi pelajar yang bergejala menerima rawatan sebagai pesakit luar.
"Tindakan kawalan dan pencegahan telah dilaksanakan oleh PKD Kuala Muda bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, termasuk siasatan persekitaran, penilaian risiko di kawasan kem, pengesanan kes secara aktif di institusi terlibat, rawatan serta pengasingan bagi kes bergejala, dan pemantauan berterusan kes ILI di daerah ini," menurut kenyataan itu pada Isnin.
Pada masa sama, PKD Kuala Muda turut menerima notifikasi berhubung dua lagi kes melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun serta seorang kakitangan daripada institusi sama.
Pelajar tersebut dilaporkan mengalami demam dan sakit badan, khususnya pada pinggul kanan, selepas menghadiri program Kem Jati Diri selama dua hari di sebuah pusat rekreasi di Yan, bermula 18 April lalu.
KKM memaklumkan seramai 39 individu, terdiri daripada pelajar tingkatan dua dan kakitangan sebuah sekolah menengah di daerah berkenaan. — Gambar Hiasan/Janaan Ai
Manakala kakitangan tersebut pula mengalami demam, kelesuan, batuk, dan sakit badan sejak 17 April.
Kedua-dua individu itu dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.
Bagaimanapun, ujian saringan menunjukkan mereka negatif terhadap jangkitan virus Influenza, dan siasatan lanjut mengenai punca jangkitan masih dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, KKM memaklumkan seramai 39 individu, terdiri daripada pelajar tingkatan dua dan kakitangan sebuah sekolah menengah di daerah berkenaan.
Kesemua pelajar dan kakitangan tersebut dilaporkan mengalami gejala demam, batuk, dan ruam badan selepas menyertai latihan di sebuah kem di Yan baru-baru ini.
Difahamkan, sekitar 100 pelajar menghadiri program tersebut yang berlangsung dari Khamis hingga Sabtu lalu.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan, mengamalkan adab batuk yang betul, serta memakai pelitup muka, terutama bagi individu berisiko tinggi.
Orang ramai yang mengalami gejala berpanjangan seperti demam, batuk, dan selesema dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan sama ada kerajaan mahupun swasta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram