[VIDEO] Kampung demensia pertama di dunia, emosi warga emas lebih baik berbanding hantar ke rumah jagaan tradisional


  • Relaks
  • Selasa, 06 Mei 2025

Pesakit demensia tidak harus dipinggirkan, sebaliknya boleh terus menjalani kehidupan bermakna jika diberi peluang. — Gambar hiasan

HIDUP bersama individu yang menghidap demensia bukan sahaja mencabar, tetapi memerlukan pendekatan penjagaan yang lebih berperikemanusiaan dan inklusif.

Menyedari kekangan dan tekanan dalam sistem rumah jagaan tradisional, sebuah konsep alternatif yang dikenali sebagai kampung demensia kini semakin mendapat perhatian global.

Konsep unik itu diperkenalkan pertama kali di Hogeweyk, Belanda pada 2009, sebuah komuniti tertutup yang direka khas untuk pesakit demensia tahap serius agar mereka dapat hidup dengan selamat, bebas dan sedekat mungkin dengan kehidupan normal.

BACA LAGI: Kopi mampu tingkatkan risiko dementia

BACA LAGI: Otak cerdas walaupun usia lanjut, ketahui 5 rahsianya

 

 

Pengasas bersama Hogeweyk, Eloy van Hal berkata, prinsip utama kampung itu adalah 'kebiasaan'.

Setiap penghuni tinggal dalam unit kecil seperti rumah sendiri, lengkap dengan perabot rumah, rakan serumah dan jadual harian yang fleksibel.

Kawasan awam pula dilengkapi kedai runcit, kafe, salun dan teater dengan semuanya dikendalikan oleh kakitangan terlatih dalam penjagaan demensia.

"Segalanya tentang pilihan, di mana mereka mahu berada dan dengan siapa? Matlamat kami ialah menyediakan ruang yang selamat dengan risiko terkawal supaya mereka boleh hidup seperti manusia biasa," ujarnya dalam wawancara bersama Vox.

Berbeza dengan rumah jagaan tradisional yang sering menyeragamkan kehidupan penghuni dan meminimumkan interaksi sosial, kampung demensia menekankan pendekatan lebih peribadi dan berasaskan komuniti.

Setiap individu tidak dianggap sebagai pesakit semata-mata, tetapi sebagai insan yang masih memiliki keperluan, minat dan harga diri.

Walau bagaimanapun, antara cabaran terbesar ialah kos operasi yang tinggi. Tanpa pembiayaan awam mencukupi, akses kepada kemudahan seperti itu masih terhad kepada golongan tertentu sahaja.

Namun demikian, maklum balas daripada keluarga dan penjaga amat memberangsangkan.

Ramai berkongsi kisah positif mengenai perubahan hidup insan tersayang mereka selepas berpindah ke kampung demensia.

Antaranya termasuk peningkatan emosi, autonomi lebih baik dan hubungan sosial yang lebih bermakna.

Seorang individu bernama Amelia berkata, beliau menyaksikan sendiri perubahan positif neneknya selepas menetap di lokasi berkenaan.

"Nenek saya kelihatan hilang semangat sewaktu di rumah jagaan biasa, tapi selepas berpindah ke sebuah kampung demensia, kualiti hidupnya berubah sepenuhnya. Dia kembali menjadi dirinya," ujarnya.

Seorang lagi individu berkongsi pengalamannya melihat pesakit menjadi agresif kerana keliru dengan pintu-pintu berkunci di fasiliti tradisional.

"Model kampung ini memberi mereka hak untuk bergerak dan membuat pilihan sendiri. Ini bukan sekadar soal penjagaan, ia soal maruah manusia," jelas beliau.

Di Amerika Syarikat (AS), jumlah penghidap Alzheimer dijangka meningkat dari tujuh kepada 13 juta menjelang 2050.

Justeru pakar menggesa agar lebih banyak pelaburan diberikan kepada model penjagaan seperti ini.

Kampung seperti Hogeweyk membuktikan bahawa pesakit demensia tidak harus dipinggirkan, tetapi boleh terus menjalani kehidupan bermakna jika diberi peluang.

Dalam era penuaan populasi yang kian pantas, pendekatan berasaskan nilai dan empati seperti ini mungkin menjadi jawapan kepada dilema penjagaan warga emas masa depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram