KOPI merupakan salah satu minuman paling popular di dunia dan menjadi pilihan ramai orang untuk memulakan hari mereka.
Namun, satu kajian terbaru oleh saintis dari Australia dan United Kingdom menunjukkan kaitan antara pengambilan kopi secara berlebihan dengan risiko penyakit dementia dan saiz jisim otak.
Para penyelidik mendapati bahawa meminum enam cawan kopi atau lebih dalam sehari dapat meningkatkan risiko dementia sebanyak 53 peratus dan juga boleh menyebabkan strok.
Menurut penyelidik, hasil imbasan otak juga menunjukkan bahawa individu yang minum kopi secara berlebihan dalam sehari boleh menyebabkan jisim otaknya mengecil.
Kajian berkenaan diterbitkan dalam jurnal Nutritional Neuroscience, di mana para penyelidik menganalisis tahap pengambilan kopi antara 398,646 peserta berusia 37 dan 73 tahun.
Daripada jumlah tersebut, mereka melihat hasil Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) daripada 17,700 peserta.
Hasil kajian mendapati bahawa individu yang minum enam cawan kopi atau lebih dalam sehari mempunyai risiko 53 peratus lebih tinggi untuk menghidap dementia berbanding mereka yang minum kurang daripada dua cawan sehari.
Individu yang tidak minum kopi, atau minum kopi tanpa kafein pula menunjukkan risiko dementia yang lebih tinggi berbanding individu yang minum kopi secara sederhana.
Hipotesis yang dilakukan adalah, semakin banyak kopi yang diminum oleh seseorang individu, semakin besar kemungkinan mereka mempunyai saiz jisim otak yang lebih kecil.
"Kopi adalah antara minuman paling popular di dunia. Namun dengan pengambilan kopi global melebihi sembilan bilion kilogram setahun, sangat penting untuk kita memahami implikasi kesihatan yang mungkin berlaku."
"Ini adalah penyelidikan yang paling meluas mengenai hubungan antara kopi, saiz jisim otak, risiko dementia, dan risiko strok," kata pakar epidemiologi dari University of South Australia, Kitty Pham. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram