
PENGAMBILAN makanan kaya dengan bahan flavonoid seperti beri, teh, dan coklat hitam boleh mengurangkan risiko demensia atau nyanyuk, menurut satu kajian terbaharu..
Penyelidikan diketuai oleh pasukan daripada Queen's University Belfast (Queen's), United Kingdom (UK) melaporkan bahawa peningkatan pengambilan makanan dan minuman kaya dengan flavonoid boleh membantu mengurangkan risiko mengembangkan penyakit yang tidak boleh diubati sebanyak 28 peratus.
Menurut angka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada masa ini, terdapat kira-kira 55 juta orang di seluruh dunia hidup dengan beberapa bentuk demensia yang juga merupakan punca kematian ketujuh paling biasa.
BACA LAGI : Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan
Walaupun umur dan genetik menyumbang dengan ketara kepada perkembangan penyakit itu, penyelidik berkata, bukti menunjukkan bahawa faktor risiko seperti diet boleh memainkan peranan penting dalam pencegahan.
Kajian itu mengatakan flavonoid terutamanya yang ditemui dalam makanan mempunyai pelbagai manfaat kesihatan, termasuk sifat antioksidan, anti-radang dan anti-kanser.
Bahan itu juga dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular, serta fungsi kognitif yang lebih baik.
Peningkatan kes demensia
Menurut WHO, pada masa ini, terdapat kira-kira 55 juta orang di seluruh dunia hidup dengan beberapa bentuk demensia yang juga merupakan punca kematian ketujuh paling biasa. — Gambar hiasan
Kajian diterbitkan dalam JAMA Network Open yang diketuai oleh Profesor daripada Pusat Sistem Makanan Lestari dan Institut Keselamatan Makanan Global di Queen's, Aedin Cassidy, turut mendapati berlakunya peningkatan kejadian demensia di seluruh dunia.
"Dalam kajian kohort berasaskan populasi ini, kami menganalisis data pemakanan daripada lebih 120,000 orang dewasa berumur antara 40 dan 70 tahun dari UK Biobank.
"Penemuan kami menunjukkan bahawa mengambil enam hidangan tambahan makanan kaya flavonoid setiap hari, khususnya beri, teh dan wain merah, dikaitkan dengan risiko demensia 28 peratus lebih rendah.
"Penemuan ini paling ketara pada individu yang mempunyai risiko genetik yang tinggi serta mereka yang mempunyai gejala kemurungan," katanya.
Dr Amy Jennings daripada Fakulti Sains Biologi di Queen's yang turut menyumbang kepada kajian itu berkata, hasil penemuan terbabit memberikan mesej kesihatan yang jelas kepada orang awam.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mencadangkan langkah mudah seperti meningkatkan pengambilan makanan harian kaya flavonoid bagi mengurangkan risiko demensia terutamanya dalam kalangan populasi berisiko tinggi.
"Pada masa ini, tiada rawatan yang berkesan untuk penyakit itu jadi penggunaan kaedah pencegahan untuk meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup, dan mengurangkan kos sosial dan ekonomi harus terus menjadi keutamaan kesihatan awam yang utama," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram