Ibu perlu sentiasa istighfar, jaga lisan sebelum marah anak, 'kena ingat mulut mak ini masin'


  • Relaks
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Doa ibu yang diniatkan khususny baik-baik, termasuk dalam doa sangat mustajab. — Gambar hiasan dijana menggunakan AI

PERKONGSIAN seorang pengguna media sosial di aplikasi Threads yang menyentuh mengenai kepentingan kata-kata seorang ibu terhadap anak-anak, baru-baru ini menarik perhatian ramai.

Pengguna dengan nama @widaddisini berkongsi kisah yang mengajak para ibu agar lebih berhati-hati dengan tutur kata, khususnya ketika memarahi anak.

Menerusi kisah ringkas yang dikongsikannya, beliau mengimbau dua peristiwa yang meninggalkan pengajaran besar menunjukkan betapa 'berkuasanya' kata-kata seorang ibu.

BACA LAGI: Usah doakan keburukan buat anak

BACA LAGI: Jika tiada amalan baik dan terlepas malapetaka, ALLAH bagi dia masa bertaubat — Mufti

Menurutnya, seorang ibu, sewaktu anaknya kecil dan sering nakal, beliau pernah menghamburkan kata-kata agar anaknya layak dihukum gantung. 

"Ada kisah banduan yang kena hukum gantung. Mak banduan ini bawa geran tanah, merayu tak bagi anak kena hukum dan rela tukar dengan tanah tersebut.

"Katanya dulu anak dia nakal, jadi dia selalu marah kemudian cakap nak kena gantung ke? Tengok bila besar kena gantung betul.

"Kisah Ketua Imam Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais pula, semasa kecil beliau nakal juga sampai sekali itu mak beliau marah tapi cakap pergi sana jadi imam Makkah. Tengok-tengok betul bila besar jadi imam Makkah," tulisnya pada Khamis.

“Ini versi pendek, tapi nak cerita yang mulut mak ini masin. Kadang-kadang tak sedar pun cakap, tapi ALLAH SWT makbulkan," tulisnya.

 

Sementara itu menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor, tidak semua yang diucapkan oleh ibu adalah doa secara langsung. 

Terdapat beza antara doa yang dimaksudkan, dengan teguran, pesanan atau amaran biasa yang tidak disertai dengan niat memohon kepada ALLAH SWT. 

Namun begitu, lidah ibu tetap membawa keberkatan dan pengaruh yang besar dalam kehidupan anak-anak.

Ini sebagaimana yang dinyatakan menerusi sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: "Tiga doa mustajab yang tidak diragukan lagi iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir dan doa ibu bapa kepada anaknya." (Hadis Riwayat Riwayat Ibnu Majah).

Jelas bahawa doa ibu yang diniatkan, khususnya yang baik-baik, termasuk dalam doa sangat mustajab. 

Namun, jika kata-kata itu diucapkan dalam keadaan marah atau tanpa sedar, tidak bermaksud ia secara automatik menjadi doa yang dimakbulkan, namun tetap perlu berhati-hati.

"Adakalanya, ada anak yang melakukan kesalahan atau perkara membahayakan diri, tetapi mereka tidak tahu akibatnya. 

"Berdasarkan pengalaman seorang ibu, ia boleh dijadikan sebagai ingatan kepada anak tersebut. 

"Bukanlah niat ibu untuk menimpakan sesuatu yang buruk kepada anak-anak, hanya peringatan agar setiap anak berwaspada dan berhati-hati," jelasnya menerusi artikel yang pernah disiarkan dalam laman web emusykil.muftiselangor.gov.my..

Menurutnya lagi, sesuatu perkara yang buruk itu tidak akan berlaku melainkan dengan keizinan daripada ALLAH SWT. 

"Justeru, ibu sentiasalah beristighfar kepada ALLAH SWT jika tersalah kata dalam ucapannya terhadap anak-anak," ujar beliau — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram