AMALAN kebaikan yang dilakukan seseorang atau doa ibu bapa berkemungkinan menjadi sebab dan musabab yang mampu mendorong seseorang terselamat daripada sesuatu bencana, kata Mufti Terengganu.
Datuk Dr Mohamad Sabri Haron bercakap sedemikian selepas timbul kemusykilan di media sosial selepas seorang mangsa insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, pada Selasa lepas berkongsi amalan yang dibuatnya seolah-olah menjadi sebab masih selamat daripada bencana itu.
Antaranya, seorang pengguna, JibrilZul meluahkan rasa aneh apabila mangsa mengaitkan amalannya dengan ketentuan ajal.
BACA LAGI: Bimbing anak murid malas sampai ke menara gading jadi pembakar semangat Cikgu Teh didik anak bangsa
BACA LAGI: Cikgu pemulihan khas sanggup ambil, hantar anak murid ke sekolah demi beri pendidikan
Kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, pada Selasa lepas menjejaskan 17 kenderaan.
"Setahu aku tiada kaitan dengan amalan selawat dia, ini berlaku sebab belum sampai ajal dia saja, dan aku tahu ada beberapa perkara menambah usia kita iaitu doa, sedekah, berbakti kepada ibu bapa, dan sambungkan silaturahim," tulisnya.
Dalam pada itu, Mohamad Sabri berkata, seseorang perlulah bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT.
"Apa pun bersyukurlah dengan usia yang masih berbaki untuk meneruskan amalan kebaikan.
"Jadi teruskan amalan kebaikan seperti selawat dan sebagainya untuk mendapatkan keredaan ALLAH SWT," katanya kepada Majoriti.
Walaubagaimanapun, Mohamad Sabri turut menasihati agar seseorang sentiasa bersangka baik dengan takdir yang ALLAH tentukan.
"Yang penting ialah keredaan ALLAH SWT.
"Jika seseorang itu tidak memiliki amalan yang bagus dan terselamat daripada malapetaka, maka dia diberi peluang untuk bertaubat kepada ALLAH SWT," katanya.
Sebelum ini, tular apabila pemandu e-hailing Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli, 26, memuat naik rakaman kemalangan itu.
"Kalau difikirkan secara logik, dengan keadaan kereta sebegitu mungkin saya sudah berada di alam lain. Terima kasih ALLAH atas bahasa cinta-Mu," katanya.
Apabila ditanya oleh warganet mengenai amalannya, Abdul Hayyi turut berkongsi bahawa dia menitikberatkan amalan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang menjadi rutin sejak tiga tahun lalu.
"Sebenarnya, tiada apa-apa amalan khas yang diamalkan oleh saya. Cuma, saya lazimkan berselawat pada kurang 1,000 sehari. Sudah hampir tiga tahun saya amalkan. Itu sahaja," katanya.
Selain itu, Hayyi menceritakan ada berdoa agar dipermudahkan mencari rezeki semasa menunaikan solat Zohor di masjid iaitu sebelum kejadian itu berlaku.
"Saya ada sedekah juga di masjid dan bermunajat kepada ALLAH untuk keselamatan," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram