KITA semua sedia maklum bahawa ibu bapa memiliki hak yang besar ke atas anak-anak mereka.
Kita diwajibkan untuk berbakti dan patuh kepada kedua-dua ibu bapa, selagi mereka mengarahkan kita untuk melakukan kebaikan, kata Ahmad Anshori.
Guru di Pondok Pesantren Hamalatul Quran Yogyakarta, Indonesia itu berkata, setiap anak perlu berhati-hati apabila berkomunikasi dengan ibu bapa kerana doa mereka mungkin dimakbulkan.
Beliau berkata, ini berlaku sekiranya doa itu diucapkan dengan keikhlasan dan dalam sedar, dan bukannya dalam emosi tidak stabil.
Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Ada tiga doa yang pasti terkabul iaitu ibu bapa yang mendoakan keburukan buat anaknya, doa musafir dan doa orang yang dizalimi," - Hadis Riwayat Tirdmidzi.
Namun, Nabi Muhammad SAW melarang ibu bapa untuk mendoakan keburukan untuk anak mereka.
Baginda SAW bersabda: “Jangan kamu mendoakan keburukan untuk diri kamu, atau anak-anak kamu, atau harta kamu. Jangan sampai kamu menepati suatu waktu yang pada waktu itu kamu meminta ALLAH SWT sesuatu, lantas Dia kabulkan doa kamu itu,” -Hadis Riwayat Muslim
Ahmad Anshori berkata, sekiranya doa itu termakbul, besar kemungkinan ibu bapa akan alami rasa penyesalan.
Pada masa sama, katanya, ALLAH SWT tidak akan memakbulkan doa ibu bapa yang mendoakan keburukan anaknya dalam keadaan marah.
Firman ALLAH SWT: "Dan kalau Allah menyegerakan keburukan bagi manusia seperti permintaan mereka untuk menyegerakan kebaikan, pasti diakhiri umur mereka. Namun Kami biarkan orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami, bingung di dalam kesesatan mereka," -Surah Yunus, ayat 11.
Menerusi ayat ini, Ahmad Anshori berkata, ALLAH SWT berfirman mengenai kasih sayang dan kelembutan-NYa kepada hamba-Nya, yakni Dia tidak akan mengabulkan doa individu yang mendoakan keburukan untuk diri mereka, harta mahupun anak-anak mereka ketika mereka sedang marah.
Katanya, ALLAH SWT mengetahui bahawa doa itu dibuat tanpa kesengajaan atau tanpa sedar yang menginginkan terkabulnya doa itu.
Selain itu, katanya, sekiranya seseorang anak tidak menderhaka setelah berusaha berbakti kepada ibu bapanya, kemudian mendapat doa buruk dari orang tuanya, maka ALLAH SWT tidak akan memakbulkan doa tersebut.
Ini kerana doa seperti itu berbentuk kezaliman terhadap anak yang tidak dibenarkan.
Sabda Nabi Muhammad SAW: "Doa yang akan selalu dimakbulkan adalah selagi ia tidak mengandungi dosa atau memutuskan hubungan silaturahim," -Hadis Riwayat Muslim. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram