
PELAKON dan pengarah Datuk Afdlin Shauki kembali merasai nikmat menjadi seorang bapa pada usia 53 tahun selepas isterinya yang mesra dikenali sebagai Datin Marcella melahirkan anak pertama mereka bersama pada tahun lalu.
“Kira-kira 10 bulan yang lalu, saya menyambut kelahiran seorang anak ke dunia ini. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dikurniakan seorang anak perempuan,” katanya menerusi laporan media.
Afdlin, yang sudah mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan terdahulu, meluahkan kegembiraan yang tidak terhingga kerana dapat menjadi bapa sekali lagi pada fasa kehidupan sekarang.
BACA LAGI: Dari hujah mahkamah ke doa liang lahad, Siti Rasidah teruskan legasi ibu galas tugas uruskan jenazah
“Perasaan saya mempunyai anak kecil pada usia ini sangat menggembirakan dan seperti diberi peluang kedua untuk menjadi seorang bapa. Saya rasa sangat bahagia dapat menjaga anak kecil pada usia sekarang,” katanya.
Afdlin turut mengenang kembali cabaran yang dihadapi ketika menjadi bapa muda ketika dia terpaksa bekerja keras dan mengakui bahawa komitmennya ketika itu sering menjauhkan dirinya daripada anak-anak.
“Ketika saya menjadi bapa pada usia muda, saya sentiasa sibuk bekerja untuk memberikan kehidupan terbaik kepada anak-anak, tetapi akhirnya saya jarang dapat meluangkan masa bersama mereka.
"Tiba-tiba mereka sudah pun besar. Tapi kini, saya dapat luangkan lebih banyak masa bersama anak," tambahnya.
Walaupun teruja, Afdlin tetap bertegas untuk merahsiakan identiti anak perempuannya buat masa ini dan hanya merancang untuk berkongsi wajah anak itu kepada umum apabila dia berusia lebih dua tahun.
"Apabila dia melepasi umur dua tahun, barulah saya akan kongsikan wajah anak kepada orang ramai," ujarnya.
Selebriti berkenaan juga menjelaskan bahawa dia lebih selesa menyimpan hal peribadi jauh daripada perhatian umum demi menjaga privasi keluarganya.
Untuk reko, Afdlin berkahwin dengan Marcella, yang dahulunya merupakan pekerjanya, pada Ogos 2023.
Sebelum ini, dia pernah mendirikan rumah tangga bersama Maria Christina Orow Abdullah dari tahun 1997 sehingga mereka bercerai pada April 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu pelakon Mia Sara, Anais dan Ileana Matin. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram