
SETIAP ibu bapa mahu memberikan pendidikan terbaik buat anak-anak agar meningkat dewasa dengan baik di samping ilmu yang menjadi penyuluh kehidupan kelak.
Namun, segelintir ibu bapa zaman Gen-Z kini berpendapat bahawa tiada kepentingan menghantar anak ke tadika ekoran faktor usia yang terlampau 'kecil'.
Isu kewangan dan soal keselamatan si kecil juga menjadi faktor menyumbang kepada isu tersebut apabila rata-ratanya lebih mengutamakan pengajian di peringkat sekolah rendah.
BACA LAGI: Beto Kusyairy jalani fisio rawat 'slip disc', isteri jadi tulang belakang sokong karier lakonan
Ramai menganggap tadika sekadar tempat belajar membaca, menulis dan mengira, namun hakikatnya pendidikan peringkat itu mampu membentuk asas penting dalam kehidupan anak-anak.
Berikut merupakan tujuh perkara utama anak-anak bakal belajar di tadika, yang mungkin tidak dapat diperoleh sepenuhnya di rumah:
1. Kemahiran sosial
Di tadika, kanak-kanak akan belajar bergaul dengan rakan sebaya untuk berkongsi, menyelesaikan konflik dan bekerjasama dalam kumpulan.
Perkara itu mampu membentuk asas empati dan komunikasi berkesan mereka sejak kecil.
2. Disiplin dan rutin harian teratur
Berbeza dengan aktiviti di rumah, kanak-kanak yang dihantar ke tadika akan mempelajari apa itu erti disiplin terutamanya dalam bab pengurusan diri.
Belajar berdasarkan jadual dan peraturan kelas, mereka akan lebih bertanggungjawab selain turut berupaya mendengar arahan guru ataupun penjaga di tadika.
3. Kawal emosi
Umum mengetahui bahawa emosi kanak-kanak sememangnya sukar dijangka terutamanya dalam soal pergaulan dan pemakanan mereka.
Dengan jadual dan aktiviti seharian padat dalam kelas, ia diyakini mampu membentuk kelakuan si kecil untuk lebih memaafkan dan membezakan baik dan buruk.
Contohnya, situasi perebutan mainan sesama rakan sebaya akan membuatkan anak-anak lebih memahami dan bertoleransi untuk berkongsi.
4. Kemahiran motor halus
Aktiviti seperti mewarna, menggunting, bermain blok dan menulis membantu membina perkembangan motor halus anak.
Sementara itu, acara larian, memanjat dan permainan fizikal di tadika juga mencipta keseimbangan penting dari segi konteks ketahanan serta kekuatan fizikal sesuai dengan kecergasan tubuh mereka.
Skil komunikasi anak akan terbentuk melalui aktiviti dan pergaulan sesama rakan sebaya di tadika. — Gambar hiasan/Agensi
5. Perkembangan bahasa dan pemikiran
Menerusi nyanyian, cerita, perbualan dan aktiviti interaktif, kemahiran bertutur serta penggunaan kosa kata anak akan teruji dengan cara yang sangat baik sesuai peringkat usia mereka.
Mereka akan belajar untuk bertanya, menjawab, memberi pendapat dan memahami arahan sekali gus mencabar daya pemikiran kritikal mereka.
6. Mengenali persekitaran sekeliling
Anak-anak di tadika akan didedahkan kepada konsep asas seperti cuaca, tarikh, bentuk, warna, haiwan, tumbuhan dan nilai-nilai murni yang positif.
Ssegala aktiviti disampaikan melalui kaedah bermain sambil belajar yang nyata memberi peluang untuk mereka lebih mudah memahami sesuatu pelajaran dengan cara yang dan mudah diingati.
7. Keyakinan diri
Dengan sokongan guru dan rakan di tadika, anak akan lebih berani mencuba perkara baharu, bercakap di khalayak ramai, menyatakan pendapat dan berdikari dalam menyelesaikan masalah dihadapi.
Perkara itu mampu memupuk keyakinan diri yang sangat penting untuk mereka melangkah ke alam persekolahan.
Bukan sekadar pusat akademik awal semata-mata, tadika adalah platform pembentukan karakter dan kemahiran hidup berguna buat si kecil.
Bahkan, ia juga menjadi medan terbaik untuk si kecil membiasakan diri dengan pergaulan dan memudahkan urusan pelajaran mereka apabila menginjak ke usia darjah satu kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram