
SETIAP wanita di muka bumi mahukan pasangan sehidup semati yang sentiasa memahami dan berperanan sebagai pelindung keluarga.
Namun, kebelakangan ini terma lelaki 'red flag' kian menjadi bualan hangat dalam kalangan wanita yang sentiasa mengutamakan kriteria baik untuk bergelar suami.
Tampil mengulas lanjut isu tersebut, isteri kepada pelakon, Azlan Komeng iaitu Nur Nilam Ortiz berkongsi beberapa tip dan pesanan buat generasi muda yang bakal mendirikan rumah tangga.
BACA LAGI: Beto Kusyairy jalani fisio rawat 'slip disc', isteri jadi tulang belakang sokong karier lakonan
BACA LAGI: [VIDEO] Diganggu wanita obses sejak 5 tahun lalu, guru kena 'stalk' tampil perjelas situasi sebenar
Azlan Komeng dan isterinya mula mendirikan rumah tangga pada Januari 2022.
Menyarankan setiap individu khususnya wanita untuk menjalani proses taaruf dalam sesi perkenalan, ia mampu mengelak individu daripada tersalah pilih pasangan yang boleh terjerumus isu perceraian kelak.
"Saya nak sampaikan satu nasihat buat semua perempuan yang belum berkahwin dan yang bakal mendirikan rumah tangga. Ingatkan anak-anak kita, berkahwinlah mengikut proses yang betul dalam Islam.
"Selain istikharah, lakukanlah istisyarah. Istisyarah ini bermaksud meminta nasihat dan bertanya pandangan dari mereka yang lebih mengetahui kerana mereka mengenali orang yang ingin dikahwini itu.
"Kemudian, lakukan proses taaruf. Tujuan taaruf adalah untuk kita lebih ‘kenal’ bakal pasangan, dan langsung tidak melibatkan hormon yang membuatkan kita terbuai-buai," katanya menerusi hantaran di laman TikTok.
Jelasnya, kesemua proses itu berupaya membantu individu untuk mengenal pasti pasangan sebelum meneruskan niat untuk berkahwin.
Tempoh masa itu menurutnya perlu digunakan sebaik mungkin untuk mengenal pasti hati budi serta kelemahan seseorang agar tidak menyesal di kemudian hari.
"Sebolehnya peluang untuk kenal tadi gunakan sebaik mungkin untuk lihat sisi ‘childhood’ bakal pasangan kita.
"Memang setiap daripada kita ada kelemahan dan sememangnya tidak sempurna tetapi apabila kita sedar dan akui ‘cycle’ yang kita perlu hentikan, kita akan lebih berusaha memperbaiki diri, pulihkan diri dan berhati-hati dalam membuat keputusan.
"Jika tidak melibatkan hormon, kita sedar semua 'red flag' tetapi jika dah sayang kita akan berperang dengan diri sendiri," ujarnya.
Akhir kata, Nilam turut menggesa agar semua wanita tidak terlampau dibuai dengan khayalan perkahwinan bahagia di samping suami kelihatan soleh, tetapi lisannya suka merendah-rendahkan dan menyakiti orang lain.
Katanya, baik lelaki mahupun perempuan semuanya perlu terus memperbaiki diri agar menjadi versi yang lebih baik daripada sebelumnya selain tidak meletakkan harapan tinggi menggunung terhadap pasangan.
Sekadar info, pada April lalu, Nilam hadir bersendirian di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kuala Lumpur bagi menuntut fasakh daripada suaminya.
Namun, Azlan dikatakan enggan berbuat demikian kerana masih menyayangi isterinya, selain turut meminta masa untuk menyelesaikan kemelut rumah tangganya yang kini sedang diuji. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram