
BIARPUN sekadar beraksi di hadapan lensa kamera, karier sebagai seorang anak wayang tidak semudah disangka.
Memerlukan komitmen dari segi masa dan tenaga, setiap individu bergelar pelakon khususnya antara yang paling mencabar dalam kalangan cabang seni lain.
Bahkan, isu kecederaan dan kesihatan juga merupakan dua perkara boleh mengundang risiko pada si pemilik badan yang lazimnya terikat dengan jadual lakonan padat.
BACA LAGI: Tampil identiti Barbarik, Jo Branko cabar adrenalin penonton di konsert Pentas Peluru Cokelat
Pelakon versatil, Beto Kusyairy, 45, atau nama sebenarnya NurKusyairy Zakuan Osman merupakan susuk ideal bagi menggambarkan pahit getir bergelar seorang anak seni.
Mengalami sakit tulang belakang (slip disc) sejak tahun lalu, ia sedikit sebanyak membataskan pergerakan terutama ketika melakonkan babak aksi dalam penggambaran drama mahupun filem.
Beto Kusyairy merupakan antara pelakon lelaki tersohor dan berbakat tanah air.
Namun, atas faktor minat mendalam terhadap dunia lakonan, anak jati Kuala Lumpur itu cekal meneruskan kariernya dengan penjagaan rapi terhadap kesihatan diri.
"Ya, orang yang paling risau sebenarnya adalah isteri lagi-lagi kalau saya terlibat dengan filem aksi kerana dia tahu bagaimana keadaan tulang belakang saya.
"Tapi, Alhamdulillah, saya ada terapi dan buat fisio, sports fisio dan sebagainya. Pihak produksi filem juga biasanya ada pasukan yang menjaga keselamatan dari sudut safety defenders.
"Mereka cukup jaga kalau saya ada buat aksi seperti backfall atau impact, mereka cukup jaga dan saya pun tidak lagi boleh buat seperti mana 10 atau 15 tahun yang lepas.
"Kita kena sedar, saya dah 45 tahun dah, jadi agak terbatas. Kita kena sedar ruang, sedar diri juga lah," katanya kepada Majoriti pada sidang media tayangan perdana filem Gayong di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-3 itu turut merakamkan penghargaan buat isteri yang sentiasa memberikan sokongan dan menjadi tulang belakang karier lakonannya.
Bahkan, Beto turut mengakui bahawa dirinya kini lebih memilih dalam menerima tawaran berlakon kerana mahu meluangkan lebih masa berkualiti bersama isteri tercinta.
"Orang yang paling menyokong karier atau peminat nombor satu adalah isteri saya, dia sangat-sangat supportive dan sentiasa memberi galakan dan saya sendiri seorang yang sangat-sangat selektif dari segi projek yang ditawarkan.
"Tapi setiap kali selesai sesuatu projek itu, saya tak terus ambil projek lain, saya memang akan adakan masa untuk berehat, untuk spend quality time dengan keluarga, kawan-kawan dan sebagainya.
"Saya sekarang ini di fasa bukan untuk mengejar job, saya buat apa yang disukai berdasarkan naskhah dan apa yang paling penting adalah skrip, kalau saya suka, jalan," tambahnya.
Memegang watak utama sebagai Meor, filem Gayong diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR).
Memaparkan perjalanan hidup ADMAR mempertahankan maruah bangsa daripada ancaman penjajah, aksi gerak tempur silat dipamerkan cukup mengujakan di samping lakonan hebat artis lain seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian dan ramai lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram