
BERITA kehamilan sememangnya satu perkara yang amat dinanti-nantikan terutamanya mereka yang kali pertama bergelar ibu.
Hadir dengan perasaan gembira bercampur teruja, pasangan suami isteri khususnya wanita perlu peka dengan langkah perlu dilakukan sebaik ujian kehamilan menunjukkan dua garis positif.
Seorang pengguna di laman Threads, @zulaikazamal berkongsi enam langkah utama yang perlu dilakukan sebaik sahaja ibu disahkan hamil.
1. Sahkan kehamilan di klinik ultra sound (Minggu 4-7)
Langkah pertama selepas melihat 'double line' pada ujian kehamilan ialah ibu perlu membuat pengesahan melalui imbasan ultra sound di mana-mana klinik ibu mengandung.
Kos: RM60 hingga RM80
Apa yang perlu ditanya:
- Berapa minggu usia kandungan?
- Kandungan dalam atau luar rahim kerana kandungan luar rahim berisiko tinggi
- Ubat yang diperlukan
- Tarikh jangkaan bersalin (EDD), penting untuk perancangan kewangan dan cuti bersalin.
2. Buka Buku Pink (Minggu 8-12)
Merupakan sejenis buku bewarna merah jambu ataupun lebih dikenali sebagai 'buku pink', ia merupakan rekod rasmi kehamilan setiap ibu mengandung dan wajib dibuka di klinik kerajaan atau swasta.
Buku pink merupakan rekod kesihatan ibu dan bayi sepanjang proses rawatan di klinik. — Gambar hiasan
Kos:
- Kerajaan: Percuma
- Swasta: RM990 hingga RM1,600 bergantung kepada pakej dan promosi diambil
Langkah ini penting bagi pemantauan berkala sepanjang kehamilan oleh pegawai kesihatan.
3. Lakukan ujian growth scan (bila-bila masa selepas kehamilan disahkan)
Growth scan ialah imbasan 2D yang boleh dilakukan beberapa kali, terutamanya apabila ibu mengalami simptom seperti demam atau bimbang tentang keadaan bayi.
Tujuan:
- Periksa degupan jantung bayi
- Periksa keadaan rahim dan posisi uri
- Ukur berat, saiz dan usia janin
Kos: RM50 hingga RM80 bagi rawatan di sektor swasta dan percuma di klinik kerajaan.
4. Jalani NT Scan (minggu 11-14)
Nuchal Translucency (NT) Scan penting untuk mengesan risiko sindrom kromosom dan masalah pada jantung bayi.
Kos: RM50 hingga RM80 dan perlu dilakukan di klinik swasta kerana perkhidmatan kerajaan biasanya tidak menyediakan perkhidmatan tersebut.
5. Kenal pasti jantina bayi dan imbasan terperinci (minggu 18 ke atas)
- Gender scan boleh dilakukan pada minggu 18 hingga 22 untuk ketahui jantina bayi.
Kos: RM50 hingga RM80 (swasta) dan klinik kerajaan hanya memaklumkan jantina pada minggu ke-28.
Ujian imbasan jantina berupaya mengenal pasti gender dan kesihatan bayi. — Gambar hiasan
- Pemeriksaan imbasan secara terperinci (detailed scan) pada minggu 20 hingga 28 bagi mengenal pasti risiko masalah jantung, buah pinggang dan anggota badan bayi.
Kos: Swasta: RM100 hingga RM150
Kerajaan: Percuma pada minggu ke-28
6. 5D Scan untuk Kenangan (minggu 26 ke atas)
Tidak diwajibkan ke atas setiap ibu hamil, namun rawatan ini menjadi pilihan ramai ibu yang mahu mengabadikan kenangan bayi ketika dalam janin sebagai memori.
Kos: RM130 hingga RM160 (swasta)
Justeru, fasa kehamilan adalah perjalanan penuh emosi dan cabaran buat si isteri.
Melalui persiapan di peringkat awal, kesihatan si ibu dan bayi bukan sahaja lebih terjamin, malah mampu membuat persediaan dari segi fizikal dan mental selain perancangan kewangan yang lebih teratur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram