Cetusan idea 4 sahabat, Sagemaker Asia bantu ibu tunggal raih pendapatan sampingan melalui seni jahitan


  • Relaks
  • Jumaat, 02 Mei 2025

Ahli komuniti Sagemakers Asia mengadakan pertemuan di sebuah kafe Kuala Lumpur bagi berkongsi pengatahuan dan hobi yang sama. — The Star

BERMULA sekadar hobi dan kerja sambilan, siapa sangka seorang ibu tunggal mampu menjana pendapatan tambahan menerusi aktiviti menjahit dan mengait barangan kraf tangan.

P. Kannamah, 49, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan di sebuah syarikat swasta berkata, dia kini mampu menampung perbelanjaan dan keperluan sekolah anaknya sejak menceburi bidang itu.

"Dulu saya menangis memikirkan masa depan mereka tapi sekarang saya boleh menabung dan bayar kelas tuisyen anak-anak dengan pendapatan tambahan ini,” ujarnya yang meraih wang lebih RM400 hingga RM800 sebulan melalui kerja sambilan tersebut.

 BACA LAGI: Tunai haji secara solo, jemaah wanita usia lebih 100 tahun ada cara kekal cergas di usia emas

 BACA LAGI: Anak tantrum? Ada 5 panduan bijak ibu bapa boleh cuba tanpa marah si kecil

Merupakan salah seorang daripada 13 pekerja sambilan di Sagemaker Asia (SA), komuniti itu mengutamakan pemerkasaan wanita golongan B40 melalui kemahiran menjahit. 

Diasaskan pada tahun lalu oleh empat sahabat iaitu Maizatul Kamal, Ummu Sulaimah, Azeerah Hakim dan Shafiqah Zainol, SA membuka peluang pendapatan melalui produk jahitan seperti beg tangan, getah rambut dan buku kanak-kanak interaktif berasaskan fabrik.

Kannamah meraih pendapatan sampingan melalui aktiviti menjahit. — The Star

Bukan sekadar peluang bekerja, SA juga berperanan sebagai sebuah komuniti yang sentiasa menyokong minat dan hobi ahlinya menerusi aktiviti kesenian tersebut.

Setiap dua minggu, kesemua ahlinya akan berkumpul di sebuah kafe dekat Kuala Lumpur bagi bertukar pandangan dan perkongsian cerita berkaitan hidup masing-masing sambil menjahit. 

“Walaupun berbeza kaum, kami seperti adik-beradik, ikatan yang terbina di sini sangat bermakna kerana kami semua faham perjuangan masing-masing,” tambah Kannamah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SA, Maizatul Kamal, misi utama organisasi itu bukan sekadar memperkenalkan produk, tetapi membina ekosistem yang memperkasa wanita kurang bernasib baik.

"Kami mahukan sebuah komuniti di mana wanita saling berkongsi kekuatan, maklumat dan minat yang sama.

"Kisah peribadi rakan kami Ummu, yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal bersama lapan adik-beradik lain, menjadi pendorong utama kami di sini," katanya.

Buku kanak-kanak merupakan antara produk dihasilkan di Sagemakers Asia. — The Star

Berbekalkan geran RM50,000 daripada hab inovasi sosial Seed.Lab, komuniti SA yang datang daripada latar belakang profesional dalam pemasaran, operasi dan komunikasi kini giat menghubungkan kemahiran wanita dengan keperluan pasaran.

"Ramai wanita B40 sebenarnya sudah mahir menjahit, tetapi kurang akses kepada rangkaian, ilmu perniagaan dan peluang pasaran yang stabil, maka di sinilah kami cuba membantu," jelasnya.

Dalam pada itu, nama Sagemaker Asia sendiri membawa simbolik cukup mendalam dengan 'sage' ialah herba yang terkenal dengan elemen penyembuhan, manakala 'maker' mencerminkan kebolehan wanita hebat bukan hanya untuk keluarga mereka, malah buat komuniti secara keseluruhan.

Dengan pendekatan inklusif berorientasikan komuniti, SA bukan sekadar menjual produk kraf tangan, malah memperkukuh asas ekonomi rumah tangga wanita menerusi hasil seni jahitan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram