Rawatan hipnoterapi, CBT bantu tangani gejala sakit perut kronik kanak-kanak


  • Relaks
  • Sabtu, 03 Mei 2025

Gejala sakit perut dalam kalangan kanak-kanak meninggalkan impak besar terhadap aktiviti seharian mereka. — Gambar hiasan/Agensi

RAWATAN hipnoterapi dan terapi percakapan merupakan kaedah terbaik mampu merawat gejala sakit perut kronik kanak-kanak.

Merangkumi beberapa simptom termasuk sindrom usus besar (IBS), migrain perut dan sakit berpanjangan, dianggarkan lebih 12 peratus terdiri daripada 300 juta populasi kanak-kanak sedunia terkesan dengan perkara itu.

Menurut Profesor Dr Morris Gordon, pakar pediatrik daripada University of Central Lancashire, di United Kingdom, England, hal itu bersamaan nisbah 1:20, rata-rata pesakit yang datang berpunca akibat masalah tersebut.

BACA LAGI: Sah hamil, 6 langkah utama mommies wajib buat lepas lihat 'double line'

BACA LAGI: Beto Kusyairy jalani fisio rawat 'slip disc', isteri jadi tulang belakang sokong karier lakonan

"Kesan kepada kehidupan kanak-kanak sangat besar, mereka tidak boleh ke sekolah dan tidak boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa," katanya.

Keberkesanan hipnoterapi, CBT

Berdasarkan kajian yang dijalankan membabitkan lebih 7,200 kanak-kanak berumur antara empat hingga 18 tahun, pelbagai jenis rawatan telah dinilai termasuk penjagaan pemakanan, ubat-ubatan, probiotik dan terapi psikososial.

Hasilnya mendapati bahawa hipnoterapi 68 peratus lebih berkesan berbanding tiada rawatan biasa manakala terapi tingkah laku kognitif (CBT) pula menunjukkan 35 peratus keberkesanan lebih tinggi.

Sementara itu, rawatan lain seperti ubat atau probiotik tidak menunjukkan bukti kukuh keberkesanannya kerana kualiti penyelidikan yang rendah dan tidak konsisten.

Cabaran dan rawatan psikososial

Meskipun hasil kajian ini menjanjikan kadar kesembuhan yang tinggi, satu halangan utama tidak dapat dielak adalah akses terhad kepada terapi psikososial sama seperti hipnoterapi dan CBT.

Selain itu, persepsi negatif masyarakat yang melihat ia sebagai rawatan untuk pesakit mental juga merupakan cabaran terbesar dalam menjalani kaedah tersebut.

Morris Gordon dalam masa sama turut menegaskan pihaknya tidak mengklasifikasikan penyakit itu berpunca akibat kesan psikologi semata-mata.

Namun, rawatan seperti hipnoterapi dan CBT terbukti berkesan dalam membantu kanak-kanak menangani kesakitan sama seperti paracetamol yang membantu menguruskan simptom selsema.

Garis panduan baharu dan keperluan penambahbaikan

Satu garis panduan rawatan baharu telah dibangunkan untuk membantu pengamal perubatan membuat keputusan lebih tepat dalam memilih kaedah rawatan.

"Selama ini, tiada garis panduan yang jelas, ada doktor cadangkan ubat dan probiotik, manakala ada mencuba pendekatan diet atau psikologi.

"Maka kajian saya jalankan adalah untuk membantu menyediakan panduan yang berdasarkan bukti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Profesor Dr. Marc Benninga daripada Hospital Kanak-kanak Emma di Amsterdam pula turut menegaskan bahawa sektor perubatan memerlukan lebih banyak kajian berkualiti demi menilai rawatan yang paling sesuai dengan gejalan sakit perut kanak-kanak.

Justeru, sakit perut kronik dalam kalangan kanak-kanak merupakan masalah kesihatan global yang perlu ditangani dengan pendekatan rawatan terbaik.

Hipnoterapi dan CBT telah terbukti sebagai rawatan yang selamat, berkesan dan sesuai untuk pelbagai latar belakang pesakit.

Namun, akses kepada rawatan ini masih perlu diperluaskan dan masyarakat perlu lebih terbuka terhadap pendekatan psikososial dalam merawat gejala fizikal. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram