'Semoga dia miliki galeri seni sendiri', ibu Zarra tak lokek 'melabur' demi minat mendalam anaknya


  • Massa
  • Khamis, 08 Ogos 2024

Zarra (tengah) bersama ibu bapanya yang sentiasa menyokong minatnya dalam bidang seni lukis.

MELIHAT kejayaan anak merupakan impian setiap ibu bapa tidak kira apa jua bidang yang diceburi selagi tidak melanggar peraturan atau undang-undang ditetapkan.

Namun, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dan menjadi pendorong atau batu loncatan untuk merealisasikan kejayaan itu.

Sanggup berkorban daripada pelbagai sudut, Murni Ali, ibu kepada pelukis cilik perempuan, Zarra Maisarrah Mohd Zaki dapat menjadi contoh serta membuka mata orang ramai tentang kepentingan sistem sokongan dalam kalangan ahli keluarga.

BACA LAGI: 'Baru lepas turap terus pacak khemah', MP tegur peniaga punca kekurangan parkir depan klinik di Bangi

BACA LAGI: Mula-mula conteng orang lidi, siapa sangka hasil seni adik Zarra pikat hati tokoh hebat seperti Tun M, bekas KP Kesihatan

6170014404297473587

Murni (kanan) dan Zarra (kiri).

Meskipun menelan perbelanjaan atau kos tinggi, Murni tidak pernah mengeluh sepanjang menjadi 'tulang belakang' bagi menyokong minat anaknya terhadap dunia seni.

Murni yang bekerja sebagai pengamal media di sebuah stesen televisyen terkemuka memberitahu bahawa tidak dapat dihitung jumlah wang yang sudah dikeluarkan untuk membeli barangan dan peralatan melukis digunakan Zarra.

Menurutnya, jika mahu dianggarkan peruntukan yang diperlukan untuk menyokong minat Zarra adalah sebanyak antara RM50 hingga RM100 setiap bulan.

Murni juga menjelaskan bahawa kos itu melibatkan pelbagai kelengkapan seni termasuk bayaran sekiranya Zarra terlibat dalam program atau pertandingan melukis.

"Jumlah sebenar tidak terhitung sebab dia mempunyai banyak koleksi peralatan seni yang terdiri daripada pelbagai jenama.

"Ada pensil warna, cat air, krayon, pastel minyak, akrilik, gouache, pen, marker, magic pen, water-based marker, berus, pensil, pen arang, pelbagai jenis kertas lukisan termasuk kanvas, kneaded eraser dan macam-macam lagi.

"Peruntukan itu adalah setiap bulan dan saya akan beli secara dalam talian atau di kedai," katanya kepada Majoriti.

6170014404297473588

Penglibatan Zarra dalam program kesenian sentiasa disokong ahli keluarga.

Kata Murni lagi, sebagai penjaga, dia tidak pernah sesekali ketinggalan untuk menghantar Zarra menyertai sebarang pertandingan atau program kesenian sama ada di peringkat sekolah, di sekitar Terengganu mahu pun luar dari negeri itu.

Selain dia dan suaminya, ahli-ahli keluarga lain seperti ibu saudara, sepupu adik beradik Zarra turut memberi pertolongan untuk menghantar Zarra jika ada penglibatan program seni di Kuala Lumpur.

Nilai lukisan

Walaupun dihasilkan oleh seorang kanak-kanak yang masih hijau usianya, ternyata lukisan Zarra mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Maka tidak hairanlah ada yang sanggup membeli hasil seni Zarra sama ada sebagai koleksi dan hobi pembeli.

Seperti dimaklumkan Murni, selain orang ramai, lukisan-lukisan Zarra juga diminati dalam kalangan rakan-rakan dan ahli keluarga lain.

Menurutnya, Zarra pernah menerima banyak tempahan daripada rakan sekolahnya dan anaknya itu bijak menjana pendapatan sendiri walaupun hanya memperoleh untung yang sikit.

"Lukisan Zarra banyak dibeli kawan di sekolah dan keluarga. Pernah diberitahu bahawa kawan sekolah mahu dia lukis pelbagai watak animasi.

"Waktu itu saya anggap macam kelakar pula apabila dia ambil art commission serendah 50 sen hingga berpuluh ringgit," kongsinya.

Screenshot (2922)

Lukisan Zarra yang pernah dilamar syarikat percetakan dari UK. — Instagram/Zarra

Murni juga berkongsi, satu daripada lukisan anak bongsunya itu berkenaan peta tembikai Palestin di Instagram KL Sketch Nation pernah dilamar sebuah syarikat percetakan dari United Kingdom (UK).

Namun mengambil semangat bersoladiriti demi Palestin, keluarga Zarra enggan menjual lukisan tersebut selepas syarikat tersebut mahu mencetaknya di atas baju atas tujuan komersil.

Jelasnya, niat asal Zarra melukis peta tersebut adalah hanya untuk mewujudkan kesedaran terhadap penderitaan Palestin kepada masyarakat.

Harapan keluarga

6170014404297473596

Zarra (kiri) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Hampir 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni, Zarra dilihat sebagai seorang anak yang sangat berdedikasi dalam setiap usahanya untuk mencapai cita-cita.

Justeru, Murni mengharapkan agar perjalanan seni yang ditempuhi anaknya sejak kecil itu membuahkan hasil.

"Sebagai ibu, saya berharap Zarra dapat mengisi masa terluang dengan melakukan perkara berfaedah seperti melukis dan mengurangkan bermain telefon pintar.

"Saya sentiasa mendoakan agar Zarra mengutip sebanyak mungkin pengalaman, belajar bergaul, berkomunikasi dan memiliki galeri seninya sendiri suatu hari nanti," katanya.

Murni juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih terutamanya kepada pelukis terkenal, Taib Abdul Razak atau lebih dikenali dengan nama pena Taib Aur yang banyak membantu Zarra.

Antara kata dorongan yang pernah diberikan oleh Taib Aur adalah 'kalah itu pasti, menang itu bonus' sekiranya berdepan dengan kekalahan dalam pertandingan.

"Mungkin pada usianya yang masih muda, Zarra belum memahami erti maksud ayat itu, tetapi saya sering memberitahunya bahawa yang penting dia enjoy dengan setiap pertandingan disertai dan belajar menghargai semua sudut pandangan seni," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram