Pernah dilabel 'budak wardrobe', Tym Fatimah buktikan peranan 'stylist' penting dalam industri fesyen


  • Relaks
  • Khamis, 01 Mei 2025

TIDAK ramai yang benar-benar memahami peranan penata gaya (stylist) di sebalik keanggunan selebriti di pentas atau karpet merah.

Tym Fatimah atau nama sebenarnya Fatimah Puteh yang suatu ketika dahulu pernah dilabel hanya 'budak wardrobe', kini berdiri sebagai antara nama paling dihormati dalam industri fesyen tempatan.

Berbekalkan ijazah dalam jurusan fesyen daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau lebih mesra disapa sebagai Tym itu sejak awal menyedari minatnya bukan pada rekaan atau jahitan.

BACA LAGI: Kerap bekerja dari rumah, pembahagi ruang antara tip wujudkan 'workstation' selesa

BACA LAGI: Gagal gapai impian jadi peguam, bos Spanx pernah jual mesin faks dari rumah ke rumah sebelum bina jenama pakaian dalam wanita

Anna Jobling (kiri) dan Shiha Zikir antara selebriti yang menggunakan khidmat tata rias Fatimah. — Instagram/@tymfatimah

“Saya cakap dengan pensyarah, saya tak minat menjahit. Jadi saya cari laluan lain dalam fesyen. Waktu itu tak banyak pun pilihan, kecuali pereka,” katanya kepada Majoriti.

Cadangan pensyarah membuka jalan buat Fatimah meneroka bidang retail dan pengurusan jenama. Lima tahun bersama label antarabangsa Ted Baker membentuk kemahirannya dalam memahami padanan gaya.

Minat terhadap penggayaan mula tercetus apabila beliau sering membantu pelanggan menyuai padan busana.

“Apabila klien datang beli baju, saya suka mix and match untuk mereka. Dari situ saya rasa seronok buat styling,” jelasnya.

Impian hampir 'terkubur'

Bercerita lanjut, beliau pernah mengimpikan untuk berkhidmat di majalah fesyen, tetapi terpaksa dilupakan sementara berikutan tawaran gaji yang rendah.

Namun pertemuan dengan pengurus kepada salah seorang sosok figura yang cukup terkenal dalam industri fesyen membuka ruang baharu kepadanya.

“Saya diberi peluang untuk terlibat dalam pelbagai acara berkaitan fesyen. Dari situlah bermulanya perjalanan saya sebagai penata gaya," kongsi penata gaya yang sudah berkhidmat selama hampir 13 tahun itu.

Langkah besar berlaku apabila Fatimah ditawarkan jawatan sebagai perunding fesyen di salah sebuah syarikat rangkaian televisyen.

Lima tahun di syarikat terbabit memberi beliau pengalaman lebih mendalam dalam penggayaan selebriti dan pengurusan visual media.

Menyumbangkan kemahiran pengalaman menggayakan Datuk M. Nasir menjadi salah satu detik membanggakan buat Fatimah. — Instagram/@tymfatimah

Cabaran membanggakan

Mengulas mengenai cabaran utama dalam kerjaya ini, katanya adalah komunikasi dengan pasukan belakang tabir.

“Kita kena bekerjasama dengan jurusolek, jurugambar, pendandan rambut. Setiap orang ada cara masing-masing. Jadi kena banyak give and take,” ujarnya.

Bercerita lanjut, antara momen penting yang dianggap sebagai satu kebanggaan buatnya ialah ketika perlu menggayakan penyanyi, Datuk M. Nasir pada saat-saat akhir selepas pereka asal menarik diri.

“Saya kena cari penyelesaian dalam masa sehari. Itu kali pertama saya menata rias beliau dan syukur, hasilnya dipuji ramai. Orang tak sangka beliau boleh bawa penampilan muda tapi masih ada auranya," ujar beliau.

Beri ruang berkarya

Apabila berbicara tentang proses kreatif dalam dunia penggayaan fesyen, Fatimah tidak menafikan bahawa setiap penata gaya lebih selesa jika diberi ruang untuk berkarya mengikut kreativiti sendiri.

“Sebenarnya, bukan saya seorang. Saya rasa mana-mana penata gaya pun akan lebih selesa kalau diberi kelonggaran untuk berkarya sendiri,” jelasnya.

Bagi wanita berusia 42 tahun itu, apabila seseorang klien mengambil khidmat penata gaya, ia sepatutnya datang bersama kepercayaan terhadap kepakaran dan penata gaya terlibat.

“Kalau dah lantik kami, maksudnya klien tersebut dah beri kepercayaan pada kemahiran dan kreativiti kami. Jadi, biarlah kami gunakan kemahiran itu untuk beri cadangan dan idea. Tetapi pada masa sama, kami juga ambil kira apa yang klien nak," ujar beliau.

Beliau menekankan bahawa komunikasi dua hala penting dalam memastikan hasil yang memuaskan untuk kedua-dua pihak.

Namun, beliau juga tidak menafikan bahawa hasil kerja mungkin tidak akan mencerminkan identiti penata gaya itu sendiri jika idea diberi 100 peratus oleh klien.

“Kalau mereka datang 100 peratus dengan idea sendiri, jadi saya rasa tiada keperluan untuk menggunakan khidmat penata gaya. Sebab saya hanya jadi pelaksana, bukan penyumbang kreativiti. Saya lebih selesa kalau klien tu faham tugas saya dan beri ruang untuk saya berkarya," tegasnya.

Bagi Fatimah, beliau lebih gemar berkarya mengikut kreativiti sendiri berbanding terikat dengan kehendak klien. — Instagram/@tymfatimah

Buang persepsi 'penata gaya tidak penting'

Beliau turut menjadi antara penata gaya pertama menerima Anugerah Zalora Style Awards.

“Saya amat bangga sebab ini pengiktirafan antarabangsa yang bukan dinilai oleh juri tempatan, tapi luar negara,” katanya.

Namun, masih ada salah faham terhadap kerjaya penata gaya. Justeru, beliau mahu masyarakat membuang persepsi yang mengatakan penata gaya tidak penting dalam industri fesyen.

“Ramai ingat kami ni tukang gosok baju. Tapi sebenarnya, kami yang bentuk identiti. Kami baca mood, faham konteks dan rancang visual. Menata rias bukan kerja sambilan, ia satu seni," tegasnya.

 

Fatimah juga memulakan jenama Tym Fatimah RTW yang menampilkan busana klasik dan oversized seperti kebaya dan kurung.

“Dari dulu saya suka baju yang ada elemen klasik dan potongan besar. Apabila orang tanya beli di mana, saya mula hasilkan koleksi sendiri," katanya yang mula menjual rekaan raya dan kini turut menyelitkan koleksi kasual pada masa tertentu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram