'Kebas pipi senyum', suami hadiahkan isteri cincin emas ketika berzapin buat netizen tumpang bahagia sekali


  • Relaks
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Pasangan tersebut aktif dalam aktiviti kebudayaan dan sering membuat persembahan tarian tradisional bersama.

SEBUAH video pasangan suami isteri menari zapin tular di TikTok selepas aksi tarian bertukar menjadi detik penuh kejutan apabila si suami tiba-tiba menghadiahkan cincin buat pasangannya.

Video yang dirakam di sebuah kawasan terbuka itu memaparkan keserasian pasangan tersebut menari mengikut alunan lagu Raya Nak Ke Mana? nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Namun, suasana bertukar menjadi lebih mengujakan selepas si suami, Hanafi Rosdi yang juga merupakan jurutari secara spontan menyarungkan sebentuk cincin pada jari isterinya yang manis berbaju kurung.

BACA LAGI: 'Dipaksa' ibu minum herba, akar kayu Sophia Albarakbah kongsi tip kecantikan turun-temurun

BACA LAGI: 'Setiap jahitan, rekaan Davika inspirasi imej wanita hebat', Alia Bastamam teruja reka busana buat ratu skuasy negara

"Hari ini saya ajak isteri berzapin. Isteri memang ikut sahaja, tetapi saya nak buat kejutan,"tulisnya dalam video berkenaan yang menerima hampir 400,000 jumlah tontonan.

Sebelum kejutan dibuat, Hanafi juga mengucup dahi isterinya terlebih dahulu sebagai petunjuk sebelum kejutan dibuat sebaik habis menari.

Melihat kepada kandungan video di akaun TikTok lelaki itu, pasangan tersebut sememangnya aktif dalam aktiviti kebudayaan dan sering membuat persembahan tarian tradisional bagi mengisi masa lapang.

Video berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-rata mendoakan kebahagiaan mereka.

"Kebas pipi aku senyum," ujar Asilah.

“Lagi bertambah rezeki engkau bahagiakan hati seorang isteri," komen @aiman.seblas.

“Isteri dia yang dapat hadiah, kenapa dengan kita sekali bahagia. Semoga kekal bahagia sehingga ke syurga hendaknya," ujar @ayunniahmad.

Tidak kurang juga yang sempat menyelitkan jenaka.

“Suami saya tak pandai zapin, tapi pandai masak. Adakah dia akan sembunyikan barang kemas dalam nasi nanti?", tulis @shah.jiehan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram