MELIHAT kanak-kanak normal pergi ke sekolah setiap hari adalah perkara paling sukar buat Mohamad.
Mohamad merupakan remaja berusia 17 tahun yang berasal dari Qatana, Damsyik, Syria.
Dilahirkan dengan penyakit saraf tunjang sehingga menyebabkan tubuhnya lumpuh, Mohamad hanya dapat meneruskan persekolahan sehingga usia 13 tahun.
BACA LAGI: 'Semua milik ALLAH', Rumah Aman Sungai Buloh beri sinar baharu buat kanak-kanak terabai
Mohamad menjalani kehidupannya dengan bergantung kepada kerusi roda. — UNICEF
Kata ibunya, Elham, Mohamad juga pernah mengalami episod kemurungan sepanjang tempoh itu.
Mengimbau kembali waktu-waktu sukar ketika mula berpindah ke Kota Qatana pada 2012, Elham berkata, mereka sekeluarga terpaksa berbuat sedemikian dek kenaikan sewa yang dikenakan.
"Suami adalah satu-satunya pencari nafkah untuk lima ahli keluarga kami. Kami terpaksa mengutamakan makanan dan bahan bakar daripada keperluan lain.
"Mohamad mengalami kemurungan dan saya tidak dapat membantunya," kata Elham sayu.
Namun, Elham bersyukur hidupnya kini berubah dan semakin stabil selepas bertemu dengan pekerja UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan menyertai Program Perlindungan Sosial Bersepadu Untuk Kanak-Kanak Kurang Upaya UNICEF.
Program itu menyalurkan bantuan wang tunai berkala tanpa syarat dengan perkhidmatan rujukan dan pengurusan kes.
"Program ini bagaikan lilin harapan di tengah kegelapan saya. Apabila saya menceritakan mengenai keadaan anak saya, mereka segera datang untuk bertemu dengan Mohamad," jelasnya.
Tawhid (kiri) bertugas untuk menguruskan bantuan yang diterima Mohamad. — UNICEF
Katanya lagi, Mohamad didaftarkan dalam program itu pada Ogos 2022 dan mula dipantau serta diuruskan oleh pengurus UNICEF, Tawhid.
"Apabila saya pertama kali bertemu Mohamad, dia kelihatan sedih dan enggan bercakap dengan saya.
"Saya ambil masa tiga bulan untuk mendapatkan kepercayaan sebelum dapat mula menguruskannya," katanya.
Tawhid berkata, selain bantuan kewangan, dia turut membantu Mohamad untuk mendapatkan kerusi roda baharu serta menggesa kedua-dua ibu bapanya menghantar remaja itu menjalankan rawatan fisioterapi bagi menguatkan anggota badannya.
"Selepas terapi, Mohamad sudah boleh bergerak di sekitar rumah dengan kerusi roda manakala lengannya juga bertambah kuat.
"Keluarga menggunakan wang tunai untuk pemeriksaan berkala, ubat-ubatan dan keperluan kebersihan," jelasnya.
Melihat perubahan ketara itu, Mohamad tidak lupa memanjatkan rasa syukur terhadap segala sokongan yang diberikan.
Katanya, dia mampu menjalani kehidupan sosial serta mempunyai ramai kawan selepas menjalani program berkenaan.
Membaca dan menulis merupakan terapi di samping dapat membantu Mohamad menimba ilmu. — UNICEF
Mohamad juga tidak pernah berputus asa untuk menimba ilmu terutamanya dalam mempelajari bahasa Arab dan membaca berita.
"Cinta Mohamad terhadap membaca telah mengejutkan semua orang termasuk guru, keluarga dan saya.
"Kami semua menyokongnya dengan lebih banyak bahan bacaan apabila dia mengejutkan kami melalui kemajuannya," katanya.
Mohamad berkata, semuanya bermula dengan sebuah buku yang dikongsi Tawhid berkisahkan orang yang dapat mengatasi cabaran hidup.
"Buku ini mengubah hidup saya. Saya sedar walaupun tubuh saya berbeza tetapi fikiran saya dapat mencipta dan mempelajari apa sahaja.
"Matlamat saya adalah untuk mempelajari kesusasteraan Arab dan menjadi penulis berpengaruh yang membantu orang lain merealisasikan potensi mereka," ujarnya.
Baginya, menulis membolehkannya berkongsi idea, tenaga, dan kasih sayang dengan masyarakat lain.
Setakat 2023, Mohamad berjaya membaca 400 buku di samping memenangi tempat ketiga dalam pertandingan membaca peringkat kebangsaan bagi kategori orang kelainan upaya (OKU). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram