
BUSANA bukan sekadar pakaian, tetapi lambang ekspresi diri, kekuatan dan identiti si pemakai.
Hal ini terbukti apabila ikon sukan skuasy negara, Datuk Nicol Ann David tampil memukau dalam busana eksklusif rekaan pereka fesyen terkenal tanah air, Alia Bastamam di pentas Laureus World Sports Awards 2025 yang berlangsung di Madrid, Sepanyol baru-baru ini.
Merupakan rekaan khas daripada koleksi terbaharu Davika sempena Aidilfitri dan Resort 2025, busana itu diperbuat sepenuhnya daripada fabrik satin mikro yang menampilkan top korset bertali bahu dengan rekaan ikatan simpulan bahagian belakang.
BACA LAGI: Elak stres, isteri zaman moden lebih utamakan karier berbanding bergelar suri rumah
Bukan sahaja mengetengahkan elemen kontemporari moden dan anggun, malah menyuntik nafas baharu kepada gaya tradisional, seiring sambutan Syawal tahun ini.
"Rekaan ini sememangnya diinspirasikan oleh kekuatan dan kehebatan seorang wanita.
"Setiap jahitan dan rekaan dinamik dalam Davika melambangkan imej wanita bertenaga dan penuh keyakinan," katanya kepada Majoriti.
Menganggap ia sebagai satu bentuk penghargaan kerana dapat menghasilkan busana khas buat ratu skuasy negara itu, Alia mahu menjalin kerjasama dengan ramai lagi personaliti wanita hebat tanah air pada masa akan datang.
"Saya benar-benar terharu apabila Datuk Nicol memilih saya untuk mereka busana istimewa buatnya.
"Ia cukup memberi inspirasi apabila dapat melihat seorang wanita hebat dengan pencapaian luar biasa menggayakan rekaan saya pada anugerah sukan berprestij itu," ujarnya.
Merupakan pereka telah lama berkecimpung dalam industri fesyen tempatan, Alia berpeluang menjalinkan kerjasama dengan ramai wanita hebat yang menjadi peneraju dalam bidang berbeza-beza.
Namun, baginya setiap rekaan adalah hasil sinergi antara visinya terhadap si pemakai dan keperibadian mereka yang tersendiri.
"Itu yang menginspirasikan saya untuk terus menjadi pereka fesyen lebih baik.
"Datuk Nicol membuktikan bahawa tiada yang mustahil dan saya mahu setiap rekaan saya membawa mesej tentang kekuatan seorang wanita," ujarnya.
Penampilan Nicol dalam busana Davika bukan sekadar momen penuh gaya, malah satu penghargaan kepada wanita Malaysia yang berani menyerlahkan kehebatan mereka di persada antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram