
DALAM dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, topik mengenai beauty privilege atau kelebihan kecantikan dalam dunia profesional sering menimbulkan perdebatan dalam kalangan warga maya di media sosial.
Adakah kecantikan seseorang itu memberi kelebihan berbanding mereka yang lebih layak, tetapi memiliki rupa paras kurang menarik? Atau majikan memandang aspek kebijaksanaan dan keupayaan dalam menentukan kejayaan seseorang di tempat kerja?
Sehubungan itu, Majoriti mendapatkan pendapat daripada beberapa selebriti media sosial berhubung isu ini.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Sherry (kiri) dan Amanda masing-masing berpendapat kebijaksanaan lebih penting berbanding kecantikan. — Instagram selebriti
Antara pempengaruh terkenal, Sherry Amin mengakui bahawa kelebihan kecantikan memang wujud dalam dunia kerja.
Namun, beliau menegaskan bahawa kelebihan tersebut bukan sahaja berkaitan dengan penampilan fizikal, tetapi bagaimana seseorang itu membawa diri dengan penuh keyakinan dan personaliti menarik.
Bagi Sherry, kebijaksanaan dalam menggunakan kecantikan termasuk kemampuan untuk memanipulasi situasi tertentu merupakan satu strategi perlu digunakan oleh wanita untuk memaksimumkan kekuatan mereka khususnya dalam bidang didominasi oleh lelaki.
"Wanita perlu bijak dalam 'memanipulasi' situasi dan menggunakan kelebihan yang ada tanpa mendedahkan semua kebolehan. Jangan biarkan mereka tahu kemampuan awak untuk elak dipergunakan," katanya
Bagi Amanda Amry pula, kecantikan tidak boleh dipandang ringan, namun kebijaksanaan dan kemahiran adalah lebih penting untuk mencapai kejayaan jangka panjang dalam dunia profesional.
Amanda yang juga pelakon dan penyanyi, tidak menafikan bahawa kecantikan boleh memberikan banyak kelebihan, tetapi ia bukanlah segala-galanya.
“Kelebihan cantik adalah subjektif. Ia bukan hanya tentang rupa, tetapi bagaimana seseorang itu menjaga dirinya dan berinteraksi dengan orang lain," katanya.
Mengulas mengenai pendapat segelintir masyarakat yang merasakan beauty privilege adalah sesuatu yang tidak adil, Amanda menyifatkan ia sebagai stigma.
Bagaimanapun, individu terlibat mempunyai pilihan untuk membuktikan sebaliknya atau mengendahkan sahaja cakap-cakap itu.
"Saya rasa itu memang stigma. Dalam industri apa-apa pun, orang akan cakap begitu. Terpulang kepada individu tersebut sama ada mahu membuktikan kebolehannya atau tidak mengambil peduli," ujarnya.
Mikaela (kiri) dan Nina mencadangkan agar individu tidak menyertakan gambar dalam resume bagi mengelakkan penilaian berdasarkan penampilan fizikal. — Instagram selebriti
Sementara itu, Mikaela Qistina berpendapat, walaupun kelebihan kecantikan memang wujud, beliau percaya bahawa kebijaksanaan adalah faktor yang lebih penting dalam menentukan kelayakan seseorang untuk mendapat pekerjaan.
"Apa-apa situasi pun, kebijaksaan itu lebih penting. Beauty privilege memang wujud, tetapi itulah yang membantu menambah keyakinan seseorang,
Justeru, salah seorang anggota kumpulan Coex itu mencadangkan agar individu yang memohon pekerjaan untuk tidak meletakkan gambar dalam ikhtisar (resume) bagi mengelakkan penilaian berdasarkan penampilan fizikal, sebaliknya menumpukan terhadap keupayaan dan latar belakang pendidikan.
Akuinya, langkah itu adil untuk memastikan seseorang dinilai berdasarkan kebolehan sebenar mereka, bukan penampilan.
Selain itu, Nina Ariff mempunyai pandangan yang lebih seimbang. Beliau mengakui bahawa kecantikan dan kebijaksanaan perlu digabungkan untuk mencipta kejayaan.
"Kecantikan itu subjektif, ia bergantung kepada mata seseorang. Jika kita bijak, orang akan melihat kita cantik luar dan dalam," ujar peguam itu.
Namun, Nina juga berpendapat bahawa kecantikan yang subjektif tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menilai kebolehan seseorang kerana ia akan menghalang peluang mereka yang lebih berkemahiran.
Senada dengan Mikaela, Nina juga bersetuju untuk tidak meletakkan gambar pada resume. Tuturnya, program The Voice misalnya, para juri menilai berdasarkan nyanyian hal sama boleh dipraktikkan dalam pekerjaan yang akhirnya, kemahiran dan bakat menjadi keutamaan.
Manakala Ameera Hadis menekankan bahawa dalam beberapa industri seperti dalam industri fesyen atau permodelan, kecantikan mungkin memainkan peranan besar.
Namun, beliau menegaskan bahawa bagi kebanyakan pekerjaan kecantikan hanyalah satu kelebihan tambahan, bukan faktor utama.
“Penampilan memang penting, tetapi ia lebih kepada bagaimana seseorang itu membawa diri mereka dengan yakin,” kata Ameera.
Kelebihan kecantikan mungkin boleh membantu membuka lebih banyak peluang, tetapi kebijaksanaan dan kemahiran turut menyumbang dalam memastikan seseorang itu bertahan dan berjaya dalam kerjaya pilihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram