Tidak hanya tentang jenama, pilihan penampilan strategi keyakinan diri


  • Relaks
  • Isnin, 28 Apr 2025

Kajian menunjukkan gaya berpakaian mampu memberi impak psikologi terhadap si pemakai. — Instagram/nelissanizam dan rizmanruzaini

PENAMPILAN bukan hanya mencerminkan imej diri, malah boleh mempengaruhi keyakinan, kepercayaan dan kesan pertama yang ditinggalkan.

Kajian menunjukkan gaya berpakaian mampu memberi impak psikologi terhadap si pemakai. 

Bagi wanita, memilih busana yang tepat tidak hanya soal fesyen, tetapi strategi untuk mengekspresikan kuasa, kecekapan dan keyakinan diri.

BACA LAGI: Hampir sedekad di pasaran, Dr Anne lancar ibu pejabat baharu, tersenarai dalam Malaysia Book of Records

BACA LAGI: Gara-gara tidak mahu dirakam mengulang baju sama, penangan media sosial popularkan konsep 'prelove', pakai sekali kemudian jual

Mimi mengakui eyeliner dan bulu mata palsu adalah dua elemen penting yang menghidupkan karakternya. — Instagram/helmysharip

Namun, kejayaan dalam berpakaian tidak semestinya terletak pada jenama atau harga pakaian semata-mata. 

Sebaliknya, ia bergantung pada bagaimana seseorang itu memahami personaliti, bentuk badan dan kesesuaian gaya dengan situasi.

Berkongsi pandangan tentang topik How Do You Dress for Success, Majoriti berkesempatan menemu bual lima wanita termasuk selebriti untuk tengok pemilihan gaya yang menjadikan mereka.

Bagi penyanyi sensasi, Mimi Fly, bersiap dari hujung rambut ke hujung kaki adalah refleksi serius terhadap bagaimana seseorang membawa diri.

“Bila kita bersiap, ia menunjukkan betapa seriusnya kita memandang diri sendiri. Ia bukan soal penampilan itu segalanya, tapi ia adalah permulaan yang baik.

"Kita kena pakai pakaian, bukan biar pakaian yang ‘pakai’ kita," jelasnya sambil mengakui eyeliner dan bulu mata palsu adalah dua elemen penting yang menghidupkan karakternya.

Untuk penyanyi dan pelakon Nellisa Nizam, kunci utama kepada keyakinan bukan terletak pada potongan atau gaya, tetapi kesesuaian.

“Saya rasa paling yakin bila pakaian itu sesuai dengan badan saya. Tidak perlu seksi, yang penting ia menggambarkan siapa saya,” katanya.

Jika bercerita tentang rona pilihan, bekas ahli kumpulan The Gadys itu mengakui warna biru kelasi adalah lambang kekuatan dan keanggunannya.

"Biru kelasi memang warna saya. Ia sangat berani, kuat dan seksi!" luahnya.

Azima percaya rambut adalah elemen utama yang menentukan keyakinannya. — Instagram/feiruzsohor

Rambut elemen utama

Tidak kurang juga wanita yang menjadikan rambut sebagai tunjang penting dalam menyempurnakan keseluruhan penampilan.

Menurut bekas model, Azima Bahrin, beliau percaya rambut adalah elemen utama yang menentukan keyakinannya.

“Saya rasa sangat yakin kalau rambut sempurna. Rambut saya kerinting semula jadi dan tidak mengambil masa lama untuk menata riasnya, mungkin sekitar 15 minit,” katanya yang turut menjadikan kasut tumit tinggi sebagai pilihan wajib untuk kekal yakin.

Turut senada, pengacara dan pelakon jelita, Toh Puan Syamim Mohd Farid yang menganggap rambut memainkan peranan besar dalam mencipta keyakinan diri.

“Rambut yang rapi akan membuatkan saya rasa bersedia berjumpa orang. 

"Secara peribadi, gaya rambut yang lurus dan kemas atau bergelombang dengan volum adalah pilihan yang ideal untuk kelihatan well-dressed,” bicaranya.

Rambut memainkan peranan besar dalam mencipta keyakinan diri buat Syamim. — Instagram/syamimfarid

Anatomi diri 

Bagi pelakon, Julia Farhana Marin, beliau meletakkan keselesaan sebagai faktor utama dalam berpakaian untuk berjaya.

“Saya akan pilih pakaian yang selesa dan yakin untuk pakai misalnya sesuatu dengan potongan baggy atau besar. Apabila selesa, barulah saya mampu menyerlah,” jelasnya.

Menariknya, Julia mengakui dirinya lebih yakin apabila digayakan oleh penata gaya profesional berbanding bersiap sendiri.

Akui isteri kepada Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum itu lagi, warna seperti maroon juga memberinya rasa berani dan elegan.

Julia mengakui lebih yakin digayakan penata gaya profesional berbanding bersiap sendiri. — Instagram/juliafarhanamarin

Penyanyi dan guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat menekankan peri penting untuk mengenali tubuh badan dan memahami gaya yang paling sesuai dengan diri sendiri.

“Anda tak perlu berlebihan dalam berpenampilan. Percayalah pada diri sendiri, dan anda akan sentiasa kelihatan cantik,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa bereksperimen itu penting, namun perlu bijak mengenal pasti pemakaian yang tidak sesuai demi penampilan lebih tersusun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram