[VIDEO] Travel solo ke Jepun, wanita terkejut temui lelaki sembunyi bawah katil di bilik hotel


  • Benua
  • Selasa, 29 Apr 2025

Percutian impian Natalisi bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang lelaki tidak dikenali berjaya menceroboh masuk ke bilik hotelnya. —Instagram/natalisi_taksisi

SEORANG pengembara wanita solo dari Thailand dikenali sebagai Natalisi Taksisi, berdepan pengalaman menakutkan ketika bercuti di Jepun selepas menemui seorang lelaki bersembunyi di bawah katil bilik hotelnya.

Natalisi menerusi Instagram miliknya berkata, dia memilih Jepun sebagai destinasi percutian kerana reputasinya sebagai negara yang selamat.

Namun, percutian impiannya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang lelaki tidak dikenali berjaya menceroboh masuk ke biliknya, meskipun hotel tersebut menggunakan sistem kad kunci.

BACA LAGI: Pengalaman 'travel' penuh drama! Selebriti, pempengaruh kongsi pernah ditipu, sesat

BACA LAGI: Wanita Banting kental jelajah solo serata dunia, sukar lupakan keindahan Switzerland

 

 

“Saya jumpa seorang lelaki di bawah katil bilik hotel di Jepun. Ini sepatutnya menjadi perjalanan solo yang selamat. Apa yang berlaku telah mengubah segalanya,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen di Instagram.

Menurut Natalisi, kejadian itu menyebabkan dia mengalami trauma yang mendalam.

Lelaki berkenaan sempat melarikan diri sejurus ditemui, sebelum dia melaporkan insiden tersebut kepada pihak hotel, yang kemudian menghubungi polis tempatan.

Pihak berkuasa kemudiannya menemui sebuah alat pengecas telefon bimbit atau power bank dan kabel pengecas mudah alih USB yang ditinggalkan di dalam bilik tersebut.

Natalisi bagaimanapun berdepan beberapa cabaran lain termasuk kamera litar tertutup (CCTV) hotel yang tidak berfungsi, kesukaran mendapatkan salinan laporan polis dan kegagalan pihak hotel memberikan bayaran balik penuh walaupun insiden berkenaan mengganggu keselamatan dirinya.

Malam itu juga, dia mengambil keputusan untuk berpindah ke hotel lain bagi memastikan keselamatannya, namun menyatakan rasa tidak puas hati terhadap layanan pihak hotel berkenaan.

Natalisi dalam pada itu berkata, insiden tersebut tidak bertujuan mencemarkan imej keseluruhan Jepun, sebaliknya harus difokuskan kepada kelemahan sistem keselamatan di hotel terlibat.

"Saya tidak mengatakan bahawa Jepun tidak selamat, tetapi hotel berkenaan tidak selamat. Jepun ialah sebuah negara yang baik," akuinya.

Video tular itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial, dengan ramai yang menyeru agar hotel berkenaan tidak dimasukkan dalam senarai di semua platform tempahan dalam talian.

Warga maya juga menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pengembara wanita solo.

Ujar christineara, hakikat bahawa individu tersebut membawa power bank bersamanya bermaksud dia sudah bersedia menunggu wanita itu datang dan tertidur sebelum melakukan sesuatu.

"Syukur awak mengikut gerak hati dan buat pemeriksaan, saya lega awak selamat sekarang dan berharap keadilan berpihak kepada awak,” katanya.

Sementara itu, seorang bekas pekerja hotel tampil memberi pandangan bahawa kejadian tersebut berkemungkinan melibatkan kakitangan hotel itu sendiri.

"Ini kerana akses kunci ke bilik biasanya mempunyai tarikh luput atau hanya kakitangan hotel sahaja yang boleh mengakses setiap bilik menggunakan kad mereka," tulis novimckain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram