Aturan hidup 'terpesong', anak Penang anggap anugerah Bintang Michelin gelaran, bukan penanda aras kejayaan


  • Massa
  • Isnin, 02 Dis 2024

Cef Afiq lebih mementingkan kepuasan dan kesempurnaan dalam memasak berbanding gelaran mahu pun anugerah.

BERMULA hanya sebagai pembantu di dapur separuh masa ketika usia belasan tahun, Muhammad Afiq Abd Malek tidak menyangka dapat menempuhi kehidupan dalam bidang kulinari selama lebih 12 tahun.

Muhammad Afiq yang kini merupakan cef profesional di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur berkesempatan berkongsi pengalaman sepanjang berkecimpung dalam bidang tersebut.

Muhammad Afiq atau lebih mesra disapa sebagai Cef Afiq berkata, perjalanannya bermula secara tidak sengaja pada 2010 yang ketika itu mengambil keputusan bekerja separuh masa di sebuah restoran Jepun.

BACA LAGI: [VIDEO] Desakan ibu agar turun berat badan bantu Nurzarina jadi atlet MTB negara

BACA LAGI: [VIDEO] Harumkan nama Malaysia, penerbit ambil peluang tayang warisan budaya, sejarah negara kepada dunia

6224173057136770287

Cef Afiq yang mula berkecimpung dalam bidang kulinari sejak 2010.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun itu berkongsi bahawa kerjaya cef sebenarnya bukanlah impian dan cita-citanya kerana ia sama sekali terpesong jauh daripada jurusan yang dipelajarinya ketika di sekolah iaitu subjek lukisan kejuruteraan dan perakaunan.

Katanya, hasrat awalnya adalah untuk bekerja sebagai juruterbang, namun disebabkan kekawangan dan krisis ekonomi yang dihadapinya ketika itu, impian tersebut dilupakan serta mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang seni kulinari di Management and Science University (MSU).

"Disebabkan saya juga kerap bekerja di banyak restoran dan hotel sehingga dinaikkan pangkat sebagai cef, kakak saya sarankan untuk teruskan kerjaya dalam bidang kulinari ini.

"Saya juga berpeluang untuk bekerja di lima pre-opening (pembukaan) hotel besar di Kuala Lumpur dan sejak daripada itu, ia bantu untuk asah kemahiran saya dalam pengurusan dapur dan lain-lain.

"Sejak itu juga, saya mula tertarik untuk terus belajar cara nak masak setiap hidangan. Saya sebenarnya sentiasa suka cari tahu macamana nak buat sesuatu masakan setiap kali makan," katanya kepada Majoriti.

6224173057136770288

Setiap hidangan perlu disajikan dengan teliti.

Menurutnya, membuat hidangan yang sedap bukanlah bergantung kepada resipi atau tip memasak semata-mata, tetapi adalah cara individu memasak dapat menentukan rasanya.

Cef Afiq berkata, memasak juga melibatkan pelbagai aspek termasuk suhu persekitaran di dalam dapur.

Cabaran

Bercerita lanjut, Cef Afiq tidak menolak bahawa setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri termasuk sebagai 'tukang masak'.

Katanya, antara cabaran yang pernah dihadapinya adalah untuk mengekalkan kualiti hidangan yang disediakan kepada tetamu atau pelanggan.

"Pernah ada situasi agak tertekan ketika saya dan pasukan saya nak sediakan hidangan dalam satu dewan atau ruang kecil di restoran saya bekerja sekarang di Bangsar.

"Ia sepatutnya ruang besar, tetapi waktu itu jadi kecil, jadi bagi saya ia agak sukar untuk uruskan. Macam-macam juga jadi waktu itu.

"Antaranya, makanan kami hidang ala-ala bufet sejuk, bila panaskan dah tak sama rasanya. Dengan tiba-tiba elektrtik dalam dapur terpadam dan ada dua cef pengsan.

"Jadi, macam tak puas hati bila kami kerja keras di belakang, tetapi kesemua hidangan tak memuaskan," jelasnya.

6224173057136770293

Isteri (kiri) antara tulang belakang Cef Afiq (kanan) sepanjang dalam bidang tersebut.

Namun, ia tetap tidak menghalang Cef Afiq untuk terus belajar dan memperbaiki kemahirannya mengawal situasi di dapur.

Antara cabaran lainnya adalah kekurangan masa bersama keluarga.

Kata bapa kepada empat orang anak itu, waktu bekerja sebagai cef kebanyakannya adalah ketika orang ramai sedang bercuti termasuk hari raya dan cuti umum.

"Ada kalanya kami terpaksa korbankan masa bersama keluarga untuk memenuhi keperluan pelanggan di hotel atau restoran.

"Saya sendiri pernah rasa bekerja pada pagi raya, dengar pula lagu raya," katanya.

Sepanjang lebih 12 tahun, Cef Afiq juga berpeluang mencipta dan mempersembahkan masakan di pelbagai pertandingan kulinari.

6224173057136770295

Memasak juga memerlukan kesabaran dan keikhlasan demi menghasilkan hidangan yang sempurna.

Ditanya pula tentang anugerah Bintang Michelin, Cef Afiq hanya menganggap ia sekadar gelaran biasa.

Baginya, kejayaan sejati terletak pada kepuasan kepada diri sendiri dan orang lain yang merasa makanan yang dihasilkan.

Pengiktirafan Bintang Michelin mungkin menjadi impian kebanyakan cef, tetapi bagi Cef Afiq, kepuasan dalam menjalankan pekerjaan dengan penuh dedikasi adalah kejayaan yang paling bermakna.

Tambahnya, kesabaran dan minat merupakan perkara penting perlu ada dalam diri seorang cef untuk bertahan dalam industri yang penuh cabaran itu.

Padanya, dunia kulinari bukanlah tentang mengejar populariti atau anugerah, tetapi tentang kesabaran, pengetahuan, dan kegigihan dalam menghadapi setiap cabaran yang datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram