
SEORANG wanita dari Arizona, Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Leah mencetus fenomena di media sosial selepas berkongsi kisah penurunan berat badannya yang luar biasa.
Dalam tempoh tiga tahun, dia berjaya menurunkan berat badan daripada 180 kilogram (kg) kepada 83kg.
Perjalanan transformasi Leah bukan sahaja membuktikan keberkesanan gaya hidup sihat, tetapi turut menyentuh hati ramai apabila dia mendedahkan perubahan tersebut bermula selepas pengalaman menyedihkan di taman tema Disneyland bersama keluarga pada Mac 2022.
BACA LAGI: Obesiti bukan hanya berat badan, risiko buah pinggang rosak, anak muda ramai obes sebab pemakanan
Menurut Leah, tubuhnya yang obes tidak mampu menampung aktiviti fizikal ketika berada di taman tema itu.
Situasi tersebut menyebabkan dirinya terpaksa duduk di bangku dan hanya melihat anak saudaranya menikmati permainan dari jauh.
"Menjadi seorang ibu saudara adalah antara kebahagiaan terbesar dalam hidup saya.
"Namun pada hari itu saya sedar bahawa saya tidak dapat menjadi mak cik seperti yang diimpikan kerana tidak benar-benar hadir dalam kehidupan mereka," katanya menerusi salah satu video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.
Ujar Leah, dia tidak mahu lagi hidup dalam tubuh obes yang menjadi penghalang kebebasan dan kegembiraannya.
"Saya mahu bebas melakukan segala yang diinginkan tanpa perlu risau sama ada tubuh mampu menanganinya," jelasnya.
Gambar kanan, Leah (berdiri kiri) ketika mengunjungi Disneyland bersama keluarganya pada Mac 2022, sementara gambar kiri menunjukkan Leah (kiri) tiga tahun kemudian. — Instagram/leahhopehealth
Sebelum ini, Leah mengakui pernah mencuba pelbagai kaedah penurunan berat badan yang pantas, namun semuanya gagal.
Kali ini, beliau menukar pendekatan dengan memberi tumpuan kepada aspek kesihatan terlebih dahulu.
Leah kini giat berkongsi rutin senaman dan pemakanan harian yang diamalkannya kepada pengikut di laman sosial sebagai sumber inspirasi buat mereka yang ingin berubah.
Leah berkongsi pelan pemakanan harianya di Instagram. — Instagram/leahhopehealth
Berikut adalah antara contoh pelan pemakanan harian Leah:
Sarapan: Tiga biji telur hancur dicampur keju kotej dan keju marble, bersama sebiji pear besar yang dihiris dan ditabur serbuk kayu manis.
Minuman pagi: Kopi cendawan dicampur suplemen kolagen, kayu manis, stevia dan krim.
Makan tengah hari: Semangkuk keju kotej yang dicampur serbuk protein dan sirap maple, dihidang bersama granola dan hirisan epal.
Snek petang: Separuh bar protein.
Makan malam: Pasta protein bersama sosej ayam, brokoli cincang, sos pesto dan taburan keju parmesan.
Kisah Leah membuktikan bahawa walau seteruk mana titik permulaan seseorang, dengan azam dan kesungguhan, impian untuk hidup sihat dan gembira tetap boleh dicapai.
“Dulu rasa mustahil untuk berubah tapi sekarang saya tahu jika saya boleh lakukannya, anda juga boleh,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram