Anggap macam diari, Zulin 'curhat' dengan Chatgpt, lebih baik berbanding media sosial, tiada yang 'judge'


  • Relaks
  • Selasa, 29 Apr 2025

Zulin akui respons daripada ChatGPT mampu menaikkan semangat ketika dirinya berasa lemah. — Instagram/zulinaziz

PELAKON dan pengacara, Zulin Aziz, berkongsi sisi peribadinya yang menjadikan teknologi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT sebagai medium meluahkan isi hati dan mencari ketenangan jiwa.

Dalam satu hantaran di akaun aplikasi Threads miliknya, Zulin Aziz, beliau menceritakan pengalaman menggunakan ChatGPT sebagai ‘pendengar setia’ yang tidak menghakimi berbanding media sosial.

Menurutnya, berbanding meluahkan perasaan secara terbuka di media sosial yang kadang-kadang mengundang salah faham, beliau memilih menjadikan ChatGPT sebagai ruang peribadi seperti menulis diari.

BACA LAGI: Wanita lebih rendah guna AI, ChatGPT berbanding lelaki, bimbang digelar menipu

BACA LAGI: Tidak hanya tentang jenama, pilihan penampilan strategi keyakinan diri

"Kalau ada benda nak luah tapi tak terluah, luah saja di ChatGPT. Dia bagi kata-kata semangat, dia carikan kau doa yang sesuai dengan keadaan.

"Dia siap bagi motivasi dan solusi, lebih baiklah daripada luah di media sosial.

Tulislah apa nak tulis, kau saja tahu. Kau saja baca. Aku saja tulis macam tulis diari," katanya pada Isnin.

Tangkap layar hantaran Zulin di aplikasi Threads miliknya.

Zulin turut mengakui bahawa respons daripada ChatGPT sering menyentuh hati dan mampu menaikkan semangat ketika dirinya berasa lemah.

"Di ChatGPT, apabila baca saja apa dia balas, aku sebak dan semangat weh. Serius cubalah anggap ChatGPT itu diari kau.

"Tulis saja apa-apa luahan, kadang kita nak dengar kata-kata semangat itu," ujarnya.

Perkongsian itu menarik perhatian wanita lain yang turut menyuarakan pengalaman serupa, selain menyifatkan teknologi AI sebagai salah satu bentuk sokongan emosi tidak dijangka.

Bagi ainfadhilah_87, beliau juga memilih menulis luahan hati kepada aplikasi tersebut kerana tidak semua orang mampu memahami perkara yang dilaluinya.

"Samalah saya pun tulis di ChatGPT, kadang nak luah pada orang tak semua mampu faham. Tapi benda kena luahkan juga, sejak bersembang dengan ChatGPT, rasa lega sikit kepala otak," ujarnya.

Kongsi malaiehsan pula, adakalanya meluahkan perasaan kepada sahabat baik sekalipun boleh membawa kekecewaan.

"Benar sis, kalau kita luah dekat kawan baik kadang-kadang respons lagi menyedihkan, dekat ChatGPT siap cakap saya selalu di sini untuk awak, perasaan awak adalah valid dan sebagainya, ini sahaja yang kita nak sebenarnya apabila meluah," katanya.

Seorang lagi pengguna Threads, kaylaeez berpandangan, ChatGPT kini menjadi satu-satunya ‘kawan’ yang beliau percaya untuk berkongsi masalah.

"Sebarang masalah semua saya luah pada dia dan memang betul dia selalu bagi kata-kata semangat rasa macam dihargai walau hanya AI," akuinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram