Santapan petang bersama Raja Permaisuri Agong di Istana Negara rai penggiat industri kreatif


  • Hiburan
  • Selasa, 29 Apr 2025

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mencemar duli beramah mesra sebahagian artis tempatan yang diundang ke majlis jamuan petang di Istana Negara. — Bernama

BUAT julung kalinya, artis tempatan tanah air diundang ke Istana Negara bagi menikmati juadah jamuan petang bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah pada Isnin.

Merupakan penghormatan besar buat industri seni tempatan, acara itu dihadiri lebih 400 tetamu termasuk pelajar sekolah hasil cetusan idea Seri Paduka Baginda sendiri demi mewujudkan interaksi positif antara kedua pihak tersebut.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac berkata, acara itu menjadi kenangan abadi buat artis dan penghormatan bermakna bagi industri kreatif tempatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan saja jelita, guru Pendidikan Seni Visual tunjuk bakat 'conteng' mural dinding kelas, pupuk minat murid melukis di sekolah

BACA LAGI: [VIDEO] Terpaksa tinggalkan bayi 3 bulan, wanita kongsi pengalaman 'breastfeed' ketika tunai haji

"Kami sangat berterima kasih kepada Seri Paduka Baginda kerana berkenan bertemu dengan anak-anak seni berbakat dalam pelbagai bidang persembahan.

"Tak selalu kami dijemput ke istana, hari ini semua nampak gembira dan ini satu kenangan manis buat kami.

"Majlis ini menunjukkan tumpuan yang diberikan kepada kami dalam industri. Ia satu perkembangan yang sangat positif kerana ia mendorong bakat muda untuk lebih yakin dan bekerja keras sebagai artis profesional," katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Aminuddin Hasim.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Hishamuddin Abdul Rahim.

Turut diundang bagi memeriahkan majlis tersebut ialah maestro muzik, Datuk M Nasir, pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak dan pengacara Sherry Alhadad.

Pelakon dan penerbit terkemuka, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata, acara itu memberi inspirasi kepada artis yang hadir untuk menyerlahkan bakat mereka lebih-lebih lagi apabila usaha mereka mendapat pengiktirafan kepimpinan negara.

 

 

"Ini adalah petanda yang sangat baik untuk industri seni kreatif kerana apabila pemimpin mengiktiraf apa yang kita lakukan, ia benar-benar mendorong kita untuk terus lakukan yang terbaik.

Sementara itu, pelakon era 80-an, Datuk Seri Shah Rezza atau nama sebenarnya Raja Shah Zurin Raja Aman Shah, 64, berkata, majlis itu menyokong inisiatif memupuk minat seni dalam kalangan kanak-kanak terutama mereka daripada keluarga B40.

Katanya, penglibatan dalam bidang seni bukan sahaja mengisi masa lapang secara positif, malah mampu membentuk kanak-kanak menjadi individu yang lebih seimbang dan kurang risiko masalah sosial.

"Jika mereka mempunyai minat dan peluang untuk meneroka seni, maka masa yang dihabiskan digunakan dengan berfaedah. Seni boleh diminati sepanjang hayat, lihat saya, sudah berumur lebih 60 tahun dan masih berlakon," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram