
BAYI baru lahir amat memerlukan susu ibu sebagai nutrien dan khasiat yang mampu melindungi daripada penyakit, alahan dan obesiti.
Individu bekerja mahupun bergelar suri rumah sepenuh masa, masing-masing perlu memastikan payudara dikosongkan secara kerap bagi mengelak daripada isu saluran tersumbat ataupun bengkak susu.
Kaedah mengepam susu merupakan salah satu cara terbaik boleh dilakukan ibu-ibu di luar sana yang mungkin sibuk bekerja seharian dan berjauhan dengan si bayi.
BACA LAGI: [VIDEO] Tegas bab 'parenting', Zaquan Adha pupuk minat anak main bola, tak mustahil jadi pelapis skuad kebangsaan
BACA LAGI: 'Bukan semua gajet melalaikan', Iman Azman kongsi cara beri 'screen time' bermanfaat buat anak
Perkongsian seorang pakar kaunselor rumah tangga, Sarah Zainal ketika menunaikan ibadah haji sekitar 2018 menggambarkan situasi dan cabaran bergelar ibu menyusu di tanah suci Makkah.
Demi melaksanakan rukun Islam kelima itu, wanita berkenaan terpaksa meninggalkan bayinya yang baru berusia tiga bulan selama lebih 52 hari menunaikan ibadah tersebut.
Merupakan satu keputusan berat, Sarah bagaimanapun yakin dengan rezeki ALLAH dan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu walaupun berjauhan dengan anaknya.
Segala persiapan rapi soal keselamatan dan keperluan anak telah dilakukan dan ujian paling berat dihadapi adalah apabila wanita tersebut perlu mengepam susu di samping mengerjakan ibadah haji.
Kotak simpanan sejuk beku disediakan Sarah sepanjang berada di kota suci Makkah.
"Sebelum pergi, pelbagai persiapan dilakukan untuk anak-anak antaranya siapa yang akan menjaga, buat siap-siap stok susu untuk si kecil yang bakal ditinggalkan dan pelbagai lagi.
"Antara doa saya adalah supaya ALLAH mudahkan urusan saya untuk pam susu sepanjang berada di sana, susu dapat disimpan dan dibawa balik ke Malaysia.
"Sepanjang perjalanan dan ketika berada di Makkah dan Madinah, breastpump adalah sahabat baik. Memang sentiasa dibawa ke mana pun saya berada, keluar hotel sekejap sekejap pun akan saya bawa, apabila tiba sahaja masanya saya akan pam tidak kira berada di mana," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Rabu.
Berkongsi lanjut tentang hal itu, Sarah menjelaskan amalan pam susu bukan satu budaya biasa bagi penduduk di Makkah dan dia perlu menyediakan stok plastik simpanan susu yang banyak sebelum berangkat ke situ.
Malah, peti simpanan aluminium turut disediakan bagi memastikan kualiti serta ketahanan susu sentiasa dalam keadaan baik.
"Di Muzdalifah, suasana sangat tak selesa ramai orang lelaki di kiri kanan, tetapi a mom gotta do what she needs to do, dah tak fikir apa, kena juga pam sebab nak elak sakit bengkak susu.
"Bungkus-bungkus susu, siap beli ais garam dan aluminium foil untuk pastikan susu tak cair, satu tong susu dibawa ke Madinah selama perjalanan lebih tujuh jam, memang doa tak henti agar susu ni kekal beku.
"Sampai je Madinah, Alhamdulillah masih beku, tumpang peti ais di dapur hotel, bilik di Madinah tiada peti ais macam di Makkah," katanya.
Menganggap ia sebagai pengorbanan terbesar bergelar ibu, ilmu serta sokongan suami merupakan dua perkara utama yang membantunya sepanjang mengerjakan ibadah tersebut.
Bukan berniat untuk membangga diri, Sarah sebaliknya berharap agar perkongsiannya mampu dijadikan rujukan dan teladan buat ibu menyusu yang mahu menunaikan haji kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram