Anak tantrum? Ada 5 panduan bijak ibu bapa boleh cuba tanpa marah si kecil


  • Relaks
  • Rabu, 30 Apr 2025

Isu anak tantrum merupakan masalah paling dikhuatiri setiap ibu bapa. — Gambar hiasan/Freepik dijana oleh AI

RAMAI ibu bapa masih keliru tentang kaedah terbaik menangani perilaku tantrum anak, terutamanya di tempat awam atau majlis keramaian.

Tantrum merupakan situasi di mana kanak-kanak mendambakan perhatian dan menyampaikan keinginan mereka menerusi kelakuan tidak normal.

Menurut perkongsian Doktor Perubatan Kamarul Ariffin Nor Sadan di laman Facebook, tantrum boleh berlaku dalam pelbagai bentuk kelakuan antaranya menjerit, menghempas barang, memukul diri sendiri dan meronta di tempat awam.

BACA LAGI: [VIDEO] Trend 50/50 lepas kahwin, UAI tegaskan isteri tak wajib keluar satu sen pun walaupun bergelar jutawan

BACA LAGI: 'A late bloomer', Syeikh Muszaphar kongsi perubahan anak ke-2 dari 'introvert' ke 'outspoken'

Kamarul Ariffin sering berkongsi nasihat dan info perubatan di laman sosial.

Bagi mengatasi isu tersebut, berikut merupakan beberapa saranan boleh dilakukan ibu bapa yang berdepan situasi sedemikian.

1. Kekal tenang, jangan marah

Kanak-kanak yang sedang tantrum kebiasaannya tidak berfikir secara rasional dan enggan menerima nasihat atau teguran.

Jika ibu bapa berterusan menunjukkan kemarahan, si kecil akan belajar bahawa ia adalah cara berkesan untuk mendapatkan apa yang dimahukan.

2. Jangan turuti permintaan semasa tantrum

Menuruti kemahuan anak ketika tantrum hanya akan mendorong kelakuan negatif itu berterusan dilakukan.

Lebih teruk apabila mereka akan mula memberontak dan berkeras sehingga kemahuan mereka dituruti.

3. Jangan beri perhatian

Jika anak berkelakuan tantrum di tempat yang selamat, ibu bapa disarankan untuk mengabaikannya tanpa memberikan sebarang perhatian.

Si kecil akan belajar bahawa tantrum adalah cara berkesan untuk mendapatkan apa yang dimahukan jika ia dilayan ibu bapa.

Pun begitu, ibu bapa perlu terlebih dahulu memastikan kawasan tersebut selamat dan terhindar dari sebarang perkara yang boleh mengundang bahaya pada si kecil.

4. Abaikan pendapat sekeliling

Ibu bapa dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan kritikan orang luar ketika mengendalikan tantrum anak.

Tindakan itu merupakan langkah pendidikan yang penting walaupun ia mungkin kurang difahami masyarakat.

5. Rasionalisasi selepas anak tenang

Selepas emosi anak kembali stabil, ibu bapa disarankan menunjukkan empati dengan bertanya keperluan anak secara lembut, serta menjelaskan bahawa tantrum bukanlah cara yang betul untuk meminta sesuatu.

Turut mengingatkan bahawa mendidik anak memerlukan kesabaran dan konsistensi yang tinggi, menerusi pendekatan yang betul, anak-anak diyakini mampu belajar mengawal emosi dan berkomunikasi dengan lebih matang jika di didik dengan baik. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram