
MASYHUR di pentas muzik K-Pop, Lalisa Manoban, 28, atau lebih dikenali sebagai Lisa daripada kumpulan Blackpink kini semakin menggegar industri Hollywood.
Berbakat besar dalam nyanyian dan seni tarian, wanita kelahiran Buriram, Thailand itu merupakan ahli paling kaya dalam kumpulannya pada nilai harta AS$28 juta (RM121 juta).
Selain bidang nyanyian, usaha niaga muziknya yang banyak menjalin kerjasama dengan penyanyi terkemuka dan tajaan jenama fesyen tersohor antarabangsa menyumbang kepada kekayaan tersebut.
BACA LAGI: 'A late bloomer', Syeikh Muszaphar kongsi perubahan anak ke-2 dari 'introvert' ke 'outspoken'
Namun, di sebalik populariti dan kejayaan diraih, ibunya, Chitthip Bruschweiler memainkan peranan penting dalam membentuk asas seni dan kerjaya gadis Thai tersebut.
Ibunya itu merupakan individu yang memperkenalkan Lisa kepada dunia seni apabila menghantar beliau mengikuti kelas tarian dan nyanyian sejak usia 14 tahun.
Usaha itu akhirnya membuka jalan kepada Lisa untuk menyertai industri hiburan Korea Selatan apabila menjadi pelatih di bawah syarikat label tersohor YG Entertainment pada 2011.
Chitthip dan suami, Marco Bruschweiler sentiasa memberikan sokongan pada karier muzik Lisa.
Selepas perkahwinan pertamanya berakhir, Chitthip berkahwin dengan Marco Bruschweiler, cef profesional dari Switzerland yang terkenal dalam dunia kulinari antarabangsa.
Marco memainkan peranan sebagai bapa tiri kepada Lisa dan telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang bersama isterinya.
Chitthip dikenali sebagai wanita anggun dan bergaya mirip anaknya.
Gemar berkongsi aktiviti seharian di laman Instagram, penampilannya yang dikatakan cukup menawan itu sering mendapat pujian daripada peminat Blackpink.
Walaupun Lisa kini menetap di Korea Selatan, hubungan dengan ibunya kekal akrab apabila sering menzahirkan rasa rindu dan kasih sayang menerusi laman sosial.
Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan Chitthip dalam kehidupan dan kejayaan hidup pelantun lagu Rockstar dan Money.
Biarpun bergelar bintang K-Pop dan artis popular yang sedang 'mendunia', Lisa tidak pernah melupakan asal usulnya, malah sering mengangkat martabat Thailand dalam karya seni menerusi lirik dan muzik video.
Peranan Chitthip sebagai tulang belakang Lisa merupakan contoh terbaik bagaimana sokongan dan kasih sayang seorang ibu mampu membentuk dan mendorong anak mencapai impian mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram