
KE mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Peribahasa itu cukup sesuai digambarkan menerusi perkongsian usahawan tersohor negara, Chryseis Tan, 37, berhubung keletah anak sulungnya, Arianna Kyla Tan.
Biarpun baru menginjak usia lima tahun, Arianna difahamkan sudah mula meminati barangan solek dan kosmetik wanita.
Situasi itu dilihat berkait rapat dengan karier Chryseis selaku pemilik produk kecantikan Lumi Beauty, yang mungkin memupuk kecenderungan anaknya dalam bidang sama.
BACA LAGI: Asid folik bukan toksik, bantu elak kecacatan anak seawal trimester pertama
Berkongsi perkembangan terkini si kecil itu baru-baru ini, anak kepada pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan tersebut nyata terkejut dengan perubahan dan minat anaknya.
"Rianna suka potong rambut dan yang paling lucu dia sangat minat dengan apa yang saya suka, mungkin kerana dia sudah semakin membesar.
"Jadi dia selalu ingin mencuba produk saya terutamanya blister dan spray, saya tak pasti sama ada ia perkara yang bagus pada usia dia sekarang.
"Tetapi Rianna selalu akan bertanya saya dulu mummy boleh tak saya ambil beg, saya pun jawab boleh tapi untuk seketika," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Chryseis sentiasa tegas dalam mendidik anak-anaknya dengan menekankan kepentingan usaha serta kerja keras untuk mendapatkan sesuatu benda.
Biarpun sibuk dengan kerjaya, dia yang juga merupakan pengerusi Natural Avenue Sdn Bhd itu mengamalkan didikan ibu bapanya yang amat mementingkan sifat kerajinan dalam melakukan sesuatu perkara.
"Saya selalu beritahu padanya bahawa dia perlu bekerja keras untuk mendapatkan apa yang dimahukan.
"Itu merupakan perkara yang diajar oleh ibu bapa saya sejak kecil, perlu bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu kejayaan," tambahnya.
Terdahulu, Chryseis mendirikan rumah tangga dengan SM Faliq Nasimuddin, 40, yang merupakan Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Naza TTDI Sdn Bhd pada 2018.
Disatukan dalam sebuah majlis tertutup di resort di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, pasangan dua sejoli itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu seorang perempuan dan seorang lelaki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram