Tampil identiti Barbarik, Jo Branko cabar adrenalin penonton di konsert Pentas Peluru Cokelat


  • Hiburan
  • Selasa, 29 Apr 2025

Jo Branko (kiri) mengetuai kumpulan rock Barbarik selaku gitaris utama.

BUAT julung kalinya, kumpulan rock Barbarik bakal mengadakan konsert Pentas Peluru Cokelat sempena kelahiran album sulungnya pada 28 Jun di Zepp Kuala Lumpur.

Mendendangkan lagu daripada album yang dituai pada November tahun lalu, gitarisnya, Jo Branko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir cukup teruja untuk menghiburkan peminatnya di samping persembahan bertenaga dari vokalisnya, Mus May.

Kata Jo Branko, kali ini mereka menampilkan buah tangan baharu yang menampilkan identiti Barbarik itu sendiri.

BACA LAGI: Santapan petang bersama Raja Permaisuri Agong di Istana Negara rai penggiat industri kreatif

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan saja jelita, guru Pendidikan Seni Visual tunjuk bakat 'conteng' mural dinding kelas, pupuk minat murid melukis di sekolah

"Jika sebelum ini kami mendendangkan lagu-lagu ketika Mus bersama Wings iaitu dalam enam buah album, tetapi kali ini berbeza.

"Setiap konsert pasti mempunyai perbezaan dan terdapat elemen kejutan pada pembukaan, pertengahan dan penutup konsert," katanya.

Menurutnya lagi, Barbarik memberi jaminan kepada semua peminat yang konsert itu bakal menguji adrenalin penonton dari mula hingga akhir.

"Konsert akan berlangsung selama dua jam dan kami akan mendendangkan kira-kira 20 buah lagu, termasuk lagu lama dan baharu.

"Apa yang boleh kami janjikan adalah sebuah persembahan yang membuatkan penonton tidak berganjak walau sedikit pun," katanya.

Peluru Cokelat merupakan album sulung Barbarik yang dilancarkan sekitar November tahun lalu.

Meskipun kugiran itu baru berusia tiga tahun, namun kejayaan ditempa dalam empat buah konsert terdahulu cukup untuk membuktikan betapa mereka sangat berpengaruh dalam industri muzik tanah air.

Empat konsert sebelum ini, BARBARIK PENTAS KERAS 1.0 (2022), DOUBLE TROUBLE 2: SEARCH X BARBARIK (2023), BERBARIK PENTAS KERAS 2.0 (2023) dan BARBARIK PENTAS KERAS 3.0 (2024) berlangsung dengan penuh gemilang di samping ratusan peminat yang hadir memberikan sokongan.

Sekadar info, tujuan konsert tersebut diadakan bagi mengubati kerinduan peminat tegar untuk melihat gandingan antara Jo Branko dengan Mus yang mana mereka pernah bergandingan bersama kumpulan Wings sekitar 1996 hingga 2000.

Lagu Peluru Cokelat ciptaan Jo Branko dan ditulis oleh penulis lirik prolifik Nasir Jani dipilih sebagai tema keseluruhan dan menjadi judul album sulung Barbarik yang berkait rapat dengan konflik di bumi Palestin.

Tiket boleh dibeli di laman ilassotickets.com dengan harga bermula dari RM150, RM280, RM380 dan RM8,000. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram