
KOMITMEN kewangan dan perbelanjaan rumah tangga merupakan cabaran terbesar setiap pasangan berkahwin.
Peranan suami paling utama dalam hal berkenaan apabila perlu menanggung segala kos kewangan dari segenap sudut termasuk nafkah zahir dan batin si isteri.
Namun, kebelakangan ini trend 50/50 menjadi konsep pasangan gen-Z yang melihat ia sebagai solusi terbaik dalam menjaga keharmonian rumah tangga.
Berkongsi perbelanjaan dari segenap sudut, kaedah itu dilakukan ekoran kos sara hidup tinggi yang melebihi kemampuan suami terutamanya hal berkaitan yuran sekolah anak dan komitmen bil bulanan.
Malah, kemampuan wanita bekerjaya dalam bidang profesional juga menyumbang kepada penerimaan konsep tersebut yang semakin diguna pakai pasangan baharu berkahwin.
Menjadi bualan hangat warga maya di laman Threads, segelintir daripadanya mengakui pernah mengamalkan konsep itu di awal perkahwinan.
"Masa mula-mula kahwin suami saya gaji kecil jadi kami bahagi 50/50, tapi lepas dia dah ada gaji lebih besar, saya beritahu suami untuk ambil alih tanggungjawab komitmen sepenuhnya,.
"Saya cuma belanja untuk bercuti dan barang keperluan lain," kata zarina.rahmat.
"Macam saya dah memang bekerja, dulu awal-awal kahwin tak kisah pun bayar masa beli barang dapur sebab tahu bil rumah suami bayar, tapi lepas tahu gaji dia mampu bayar, terus suami bayarkan," ujar izatulnisya.
"Dulu masa tak ada ilmu saya amalkan bayar masing-masing punya komitmen melainkan nafkah makan dan pakai memang suami tanggung, Alhamdulillah semua cukup yang penting perancangan dan komunikasi antara suami isteri," tambah aacumm_.
Dalam pada itu, perkongsian video penceramah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus baru-baru ini menjawab segala persoalan berbangkit berkaitan hal berkenaan.
Tegas menyatakan kewajipan suami dalam menyediakan nafkah dan keperluan keluarga, individu culas dalam perkara itu dianggap seperti berhutang dengan isterinya.
"Isu paling banyak dalam Malaysia ialah suami tak bayar nafkah sebab isteri sudah bekerja atau suami itu memang jahat.
"Padahal seorang suami wajib beri nafkah makan, minum, tempat tinggal dan pakaian sampai mati walaupun isteri dia itu jutawan, jangan main-main.
Penceramah yang mesra disapa UAI itu turut menegaskan suami wajib mengganti semula segala keperluan isteri sekiranya gagal dilunaskan setiap bulan.
"Isteri tak wajib keluarkan satu sen pun dalam hal rumah tangga.
"Ingat, kalau suami tak bagi maka akan jadi hutang sampai mati," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram