
DARI sebuah kota kecil di India ke puncak dunia fesyen antarabangsa, Leena Nair membuktikan asal-usul bukanlah penghalang untuk mencipta kejayaan luar biasa.
Wanita kelahiran Kolhapur itu kini menerajui rumah fesyen ikonik Chanel sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global, membawa jenama mewah tersebut ke tahap baharu dengan pendapatan tahunan menghampiri AS$20 bilion (kira-kira RM90 bilion).
Perjalanan Leena bermula dengan satu syarat yang ditetapkan oleh bapanya.
BACA LAGI: Jurang gender masih ketara, wanita hanya kuasai 21 peratus PKS di Malaysia
Bapanya akan membiayai pengajian, tetapi dengan satu perjanjian, iaitu Leena perlu berkahwin pada usia 23 tahun.
Beliau bersetuju, namun wanita itu tidak membiarkan syarat tersebut menghalang impian besarnya.
Lalu melanjutkan pengajian di XLRI Jamshedpur, sebuah institusi perniagaan terkemuka di India sebelum memulakan kerjaya bersama Hindustan Unilever, cabang India bagi syarikat gergasi barangan pengguna, Unilever pada 1992.
Di situ, Leena mencipta sejarah selama lebih dua dekad. Pada 2016, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia (CHRO) termuda dalam sejarah syarikat itu dan wanita pertama serta wanita Asia pertama memegang jawatan tersebut.
Kereta api
Siapa sangka perjalanan menuju kemuncak dunia fesyen bermula dari sebuah kereta api.
Dalam satu temu bual bersama Stanford Graduate School of Business, Leena mengimbas detik mencabar yang membentuk laluan kejayaannya bermula daripada impian melanjutkan pengajian kejuruteraan.
Namun, segalanya bukan mudah. Universiti pilihannya terletak di timur India, manakala beliau menetap di barat dan memakan masa 48 jam perjalanan menaiki kereta api.
“Bagi keluarga saya, tempat itu seolah-olah planet lain. Ia mengambil usaha besar untuk ke sana dan belajar,” kata pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan itu.
Walaupun bapa menyokong pendidikannya, namun tetap terbit keraguan.
“Saya akan biayai pelajaran, tapi tak boleh jamin kamu akan ada kerjaya,” ujar bapanya.
Bagaimanapun, Leena tidak pernah berpaling. Tidak lama selepas tamat pengajian, beliau diterima bekerja di Unilever sebagai pelatih pengurusan.
Dari situ, kariernya melonjak daripada pengurus kilang kepada ketua sumber manusia, dan akhirnya menjawat CHRO Unilever berpangkalan di London selama lima tahun sebelum berpindah pula ke Chanel pada 2022.
Selepas menghabiskan seluruh kerjaya profesionalnya bersama Unilever, Leena hampir menolak tawaran daripada Chanel.
Leena dikenali sebagai pendukung utama inisiatif kesaksamaan gender dan pembangunan bakat global. — Agensi
“Saya beritahu suami, Chanel telefon tapi saya takkan pertimbangkannya langsung. Mereka gila ke?” katanya sambil tertawa.
Namun, sembilan bulan kemudian, beliau menerima cabaran itu, melangkah ke dunia baharu sebagai CEO kepada jenama di kedudukan ke-209 dalam senarai Fortune 500 Eropah.
Leena sekali lagi mencipta sejarah apabila dilantik sebagai CEO Global Chanel, menjadikannya wanita India pertama mengetuai salah satu rumah fesyen paling berpengaruh di dunia.
Peralihan tersebut bukan sekadar perubahan syarika, tetapi lompatan empat hala, yakni daripada industri barangan pengguna ke fesyen mewah, budaya Anglo-Belanda ke Perancis, pengurusan sumber manusia kepada kepimpinan eksekutif dan daripada syarikat awam kepada swasta.
“Peralihan empat kali ganda ini bermaksud kamu sama ada sangat berani atau sangat bodoh,” selorohnya.
Leena harus menyesuaikan dirinya daripada budaya pengeluaran pantas di Unilever kepada dunia halus dan eksklusif Chanel, yang mana artisan mengambil masa hingga lima tahun untuk menghasilkan beg tangan rekaan sebelum layak menyentuh produk sebenar.
Sebagai perbandingan, dalam tempoh sama, Unilever mungkin telah melancarkan berjuta-juta unit produk pengguna.
Meskipun perbezaan ketara, hampir dua tahun selepas menyertai Chanel, Leena telah membawa perubahan besar.
Di bawah kepimpinannya, Chanel berjaya mengharungi kelembapan pasaran mewah, mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 16 peratus pada 2023, selain meluaskan lagi kehadiran global dengan pembukaan butik baharu.
Beliau turut memperkukuh tanggungjawab sosial syarikat dengan menaikkan dana Foundation Chanel kepada AS$100 juta (kira-kira RM437 juta), khusus untuk menyokong wanita di seluruh dunia.
Memimpin lebih 160,000 pekerja di 190 negara, Leena dikenali sebagai pendukung utama inisiatif kesaksamaan gender dan pembangunan bakat global.
Chanel juga kini melangkah ke bidang penajaan sukan, menyusul trend yang diikuti jenama mewah lain.
Salah satu rekaan bag tangan keluaran jenama Chanel. — Agensi
Perkasa wanita
Di bawah kepimpinannya, Chanel tidak hanya mencatat pertumbuhan luar biasa dalam pendapatan, tetapi turut memacu agenda pemerkasaan wanita dalam organisasi.
Hari ini, lebih 60 peratus jawatan pengurusan di Chanel diisi oleh wanita, hasil usaha Leena membentuk landskap kepimpinan lebih inklusif.
Beliau turut mengetuai pelaburan sebanyak AS$125 juta (RM540 juta) setiap tahun melalui inisiatif untuk memperkasakan wanita di seluruh dunia.
Walaupun berdepan tekanan terhadap perbelanjaan mewah, Leena mempunyai visi jangka panjang yang
Beliau mahu Chanel bukan sahaja terus kekal relevan, tetapi menjadi pelopor industri untuk generasi akan datang.
“Saya mahu diri saya yang berusia 11 tahun bangga dengan pemimpin yang saya jadi hari ini,” ujarnya penuh makna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram