Ovari membesar luar biasa akibat hidap hiperovulasi, wanita Uganda lahirkan 44 anak


  • Benua
  • Jumaat, 25 Apr 2025

Mariamberjuang seorang diri untuk membesarkan anak-anaknya. — Agensi

PADA usia 45 tahun, Mariam Nabatanzi dikenali sebagai antara wanita dengan jumlah kelahiran anak tertinggi di dunia.

Berasal dari daerah Mukono, Uganda, Mariam telah melahirkan 44 anak hasil daripada 15 kali kehamilan.

Mariam mula berkahwin seawal usia 12 tahun dan melahirkan anak pertamanya ketika berumur 13 tahun. 

BACA LAGI: Wanita jangan alpa, gangguan ginekologi berisiko alami penyakit jantung dan masalah salur darah otak

BACA LAGI: 'Tidur cukup, makan okey tetapi tak bermaya', ramai wanita di Malaysia rupanya kurang terdedah cahaya matahari

Dia berkahwin dengan lelaki yang berusia 28 tahun lebih tua daripadanya.

Menurut laporan detikHealth, wanita tabah itu telah melahirkan enam set pasangan kembar, empat set kembar tiga dan lima set kembar empat serta beberapa kelahiran tunggal. 

Kini, dia masih membesarkan 38 orang anak, selepas enam daripada mereka meninggal dunia.

“Saya tidak menyesali apa-apa. Saya sayang mereka semua dan sangat bangga kerana saya satu-satunya ibu mereka,” kata Mariam dalam satu temu bual bersama African News.

Mariam telah melahirkan 44 anak hasil daripada 15 kali kehamilan. — Agensi

Wanita tersebut tinggal bersama anak-anaknya dalam empat buah rumah kecil yang sempit dan usang, diperbuat daripada batu simen yang mulai reput dengan bumbung zink berkarat.

Rumah-rumah tersebut terletak di sebuah kampung terpencil yang dikelilingi ladang kopi, kira-kira 50 kilometer dari ibu kota Uganda, Kampala.

Penyakit jarang berlaku

Mariam menjelaskan bahawa dia menghidap satu keadaan perubatan yang jarang berlaku iaitu hiperovulasi yang menyebabkan ovari menghasilkan lebih banyak telur semasa kitaran ovulasi. 

Keadaan tersebut berlaku selepas kehamilan pertamanya, apabila doktor mendapati ovarinya membesar secara luar biasa.

Meskipun rawatan untuk hiperovulasi ada, akses terhadapnya amat terhad di kawasan luar bandar Uganda. 

Lebih memburukkan keadaan, doktor juga tidak mengesyorkan penggunaan alat pencegah kehamilan atas faktor kesihatan, menyebabkan dia terus melahirkan anak dalam jumlah yang besar.

Wanita tersebut tinggal bersama anak-anaknya dalam rumah kecil yang sempit dan usang. — Agensi

Dalam satu wawancara, Mariam turut berkongsi kesedihan apabila suaminya meninggalkan keluarga mereka pada 2015 kerana tidak mampu menanggung beban kewangan. 

Sejak itu, Mariam berjuang seorang diri untuk membesarkan anak-anaknya.

“Saya dibesarkan dengan linangan air mata dan selepas berkahwin, suami pula melalui pelbagai penderitaan. 

"Semua masa saya habiskan untuk menjaga anak-anak dan bekerja mencari rezeki,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut laporan Daily Mirror, Mariam kini tidak lagi mampu mengandung selepas menjalani prosedur perubatan untuk menghentikan kehamilan.

Keputusan itu diambil selepas pendedahan mengejutkan bahawa bapanya sendiri pernah mempunyai 45 anak hasil hubungan dengan beberapa wanita yang berbeza.

Dalam laporan tersebut, Mariam mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa seorang doktor telah menjalankan prosedur drastik untuk memastikan dirinya tidak lagi mengandung.

“Doktor kata dia telah potong rahim saya dari dalam,” kata Mariam.

Tindakan tersebut dipercayai diambil selepas mengambil kira keadaan kesihatan Mariam serta risiko yang mungkin timbul sekiranya hamil lagi, memandangkan sejarah kelahiran luar biasa yang dialaminya sebelum ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram