
USAHAWAN mikro dan kecil wanita kini merangkumi 21 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
Situasi itu menunjukkan kira-kira 241,767 perniagaan yang dikendalikan wanita membentuk penyertaan penting dalam ekonomi negara, dengan PKS merangkumi jumlah sebanyak 97.4 peratus daripada keseluruhan perniagaan.
Perniagaan milik wanita, ditakrifkan sebagai perniagaan yang dimiliki, diurus dan dikawal sekurang-kurangnya pada kadar 51 peratus oleh seorang atau lebih golongan wanita.
BACA LAGI: Besarkan bisnes, perbanyak staf pemasaran, perancangan usahawan wanita jika terima bantuan kewangan
BACA LAGI: Bukan calang-calang, 5 wanita terkaya dunia kuasai bisnes pasar raya hingga kapal kontena
Dari kiri: Ketua Wanita MyWira di TalentCorp, Natasha Alias; Nini, Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Teoh Ai Ni dan Pegawai Program di Strive Malaysia, Li Yang Lau.
Namun, walaupun ia merupakan perkembangan menggalakkan, masih wujud jurang gender yang ketara memandangkan Malaysia meletakkan sasaran untuk mencapai 60 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita (LFPR) menjelang 2033.
LFPR wanita terkini menunjukkan peningkatan pada kadar yang rendah iaitu 56.3 peratus, manakala LFPR lelaki berada pada kadar 82.9 peratus, sekali gus menunjukkan jurang gender masih ketara meskipun terdapat peningkatan penyertaan golongan wanita.
Dalam usaha merapatkan jurang dan memperkasa usahawan wanita di Malaysia, rangkaian dobi layan diri terkemuka, dobiQueen, baru-baru ini menganjurkan satu sesi panel berjudul Empati Bertemu Inovasi: Bagaimana Usahawan Wanita Menggunakan Teknologi Bermatlamat dan Kepimpinan Empatitik Untuk Mentransformasikan, bersama pakar daripada sektor awam dan swasta termasuk Wanita MyWira TalentCorp, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan Strive Malaysia.
Kira-kira 241,767 perniagaan dikendalikan wanita membentuk penyertaan penting dalam ekonomi negara.
Cabaran
Kajian oleh Strive Malaysia mendedahkan terdapat tiga cabaran utama yang dihadapi usahawan wanita.
Cabaran utama mereka kekangan masa, 97 peratus golongan wanita menyatakan kesukaran untuk mengimbangi perniagaan, penjagaan anak dan tanggungjawab rumah tangga.
Ia berpunca daripada norma jantina, yang sering menganggap wanita sebagai penjaga utama dalam konteks sosial, budaya dan agama di Malaysia.
Walaupun lebih 80 peratus usahawan mikro dan kecil wanita mengakui potensi dan manfaat dalam literasi digital yang berupaya mencari maklumat dalam talian menerusi Facebook, Instagram dan TikTok, kebanyakan mereka masih menggunakan platform tersebut untuk tujuan peribadi berbanding perniagaan.
Justeru wujud jurang antara kemahiran digital dan usaha dalam bidang keusahawanan.
Nini memberitahu, dobiQueen ditubuhkan dengan misi empati meringankan beban kerja rumah tangga.
Konsep kewangan
Pegawai Program di Strive Malaysia, Li Yang Lau berkata, hanya 50 peratus usahawan mikro dan kecil wanita menyatakan keyakinan mereka terhadap pengetahuan dan kemahiran kewangan yang hanya terhad kepada rekod asas pendapatan dan perbelanjaan, manakala ramai antara mereka kurang memahami konsep kewangan lebih luas seperti pasaran dinamik atau permohonan pembiayaan.
Daripada jumlah itu, 78 peratus daripada mereka menyatakan keperluan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada institusi kewangan berkaitan pengurusan pinjaman, geran, dan maklumat pasaran.
“Laporan yang mendalam ini telah menjadi panduan dalam merangka intervensi yang disasarkan bagi memenuhi keperluan unik perniagaan yang dimiliki dan diterajui oleh golongan wanita.
“Kami menyediakan mereka akses mudah kepada alat penilaian kendiri secara percuma, latihan pembangunan kemahiran yang disesuaikan, sumber pembelajaran mikro dan peluang untuk mendapatkan bimbingan," katanya.
Perniagaan milik wanita ditakrifkan sebagai perniagaan dimiliki, diurus dan dikawal sekurang-kurangnya pada kadar 51 peratus oleh seorang atau lebih golongan wanita.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif dobiQueen, Nini Tan memberitahu, sebagai PKS, dobiQueen ditubuhkan sejak 10 tahun lalu dengan misi empati untuk meringankan beban kerja rumah tangga.
Jelas beliau, wanita menghabiskan kira-kira 63.6 peratus lebih banyak masa setiap hari untuk tugas tidak berbayar berbanding lelaki, dengan wanita terus melakukan penambahan anggaran purata 3.6 hingga empat jam selepas waktu kerja untuk melakukan tugasan rumah, sekali gus mewujudkan situasi ‘beban berganda’ atau ‘syif kedua’.
"Hari ini, dobiQueen merevolusikan pengalaman dobi di Malaysia dengan memanfaatkan internet dan teknologi dan melabur dalam mesin basuh dan pengering berteknologi tinggi terkini.
“Sebagai rangkaian dobi layan diri terkemuka di Lembah Klang dengan 90 cawangan dan terus berkembang, kami berjaya meringankan beban kerja rumah banyak keluarga," ujarnya lagi.
Ketika Malaysia bergerak pantas ke arah sasaran 60 peratus penyertaan tenaga kerja wanita menjelang 2030, momentum yang dipacu PKS yang diterajui wanita, kerjasama awam-swasta dan dasar inklusif adalah sangat ketara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram