TERDAPAT pelbagai jenis seni warisan budaya diperkenalkan di Malaysia iaitu muzik, tarian, makanan termasuk pakaian.
Kepelbagaian busana juga mencerminkan sesuatu budaya yang ada di negara ini seperti pakaian tradisional Melayu.
Antara pakaian tradisional Malaysia kini diakui Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) adalah songket sebagai salah satu Warisan Budaya Tidak Ketara.
Kain songket antara warisan budaya yang diiktiraf Unesco.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menjelaskan pemilihan itu dapat meningkatkan kesedaran dalam usaha melestarikan pelbagai warisan budaya di Malaysia.
Warisan budaya Melayu itu justeru perlu dipelihara dan diwarisi secara turun-temurun agar ia tidak terus dilupakan.
Mempunyai semangat dalam mengekalkan warisan berharga itu, Presiden Warisan Kesenian Laksamana Malaysia (WAKALAM), Mohd Putra Ezra Ezuddin Zulkefli, 43, mengambil pendekatan untuk memberi pendedahan terutamanya kepada golongan muda.
Mohd Putra yang terlibat lebih 10 tahun dalam bidang seni silat itu berkata, tugas WAKALAM adalah mengajar orang ramai tentang disiplin atau tatatertib memakai busana lengkap tradisional Melayu.
Mohd Putra sebagai Presiden WAKALAM sejak penubuhannya pada 2010.
"Kami ditugaskan untuk tunjuk cara-cara pakai busana, tanjak, capal (selipar), seluar, ikatan samping terutamanya ketika majlis-majlis istiadat rasmi.
"Kami juga cuba beri pemahaman semula kepada perkara-perkara penting dalam budaya Melayu seperti apa yang kita perlu lakukan atau dahulukan sama ada adab atau adat, warisan atau leluhur (keturunan)," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, ramai di antara masyarakat generasi sekarang tidak peka dengan cara pemakaian busana tradisional yang betul.
Kebanyakan mereka, katanya, seperti terlalu mengikut cara pemakaian moden kerana terpengaruh oleh budaya Barat.
Antara contoh ikatan samping bagi lelaki berstatus duda. — Gambar hiasan
Mohd Putra juga sering melihat sikap anak muda kini yang tidak menitikberatkan ilmu tersebut sehingga ia terbawa-bawa ke dewasa.
"Memang ada yang tak ambil tahu langsung tentang pemakaian tradisional Melayu sampai masa berkahwin pun masih lagi salah bila pakai tanjak.
"Bukan itu sahaja, ramai mak andam (juruhias majlis perkahwinan) yang tak begitu ambil peduli ilmu itu antaranya cara selit keris, cara pakai samping dan sebagainya.
"Contohnya macam lelaki berstatus duda, samping kena tutup lutut kiri, manakala samping atas lutut kanan bagi duda yang kematian isteri atau bercerai.
"Ada juga yang pakai tanjak terbalik. Jadi, kami sebagai wakil cuba untuk beri ilmu itu kembali dengan cara kami," katanya.
Seni warisan yang perlu diterapkan kepada generasi muda seawal peringkat kanak-kanak. — Gambar hiasan/Facebook Mohd Putra
Jelasnya, setiap ahli WAKALAM menjadikan busana tradisional Melayu sebagai pakaian harian dan hal itu turut diterapkan juga dalam kalangan ahli keluarga.
Kata Mohd Putra, pendedahan itu perlu bermula daripada ahli keluarga terdekat seperti anak-anak dan isterinya.
"Macam saya, memang terapkan amalan itu di rumah, anak-anak saya pun pakai baju Melayu dan baju kurung walaupun ke sekolah.
"Anak-anak saya pada masa sama jadi contoh di sekolah dan mempengaruh rakan sebaya untuk turut amalkan busana itu.
"Di WAKALAM juga ada jual beberapa jenis baju tradisional yang ringan dan santai serta boleh digunakan untuk pergi bersiar-siar atau bersukan.
"Apabila di rumah, anak-anak selalu tanya, 'ada tak pakaian untuk saya'. Ini bermakna mereka pun nak bersama dengan saya," ujarnya.
Katanya, penerimaan keluarga tentang galakkan itu sangat positif sekali gus menunjukkan bahawa ia boleh dijadikan ikutan masyarakat lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram