
PEKERJAAN sebagai pembantu rumah khususnya yang menawarkan khidmat menjaga ibu bapa berusia atau terlantar kini mencatatkan peningkatan permintaan ketara, sejajar dengan trend penuaan populasi di negara ini.
Fenomena itu bukan sahaja melibatkan penjagaan rutin harian seperti kebersihan diri, pemakanan dan ubat-ubatan, malah meliputi aspek sokongan emosi serta pemantauan kesihatan berterusan.
Trend tersebut disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk peningkatan usia penduduk, gaya hidup moden yang sibuk dan kekangan masa dalam kalangan anak-anak yang bekerja dan tidak mampu memberikan penjagaan sepenuh masa kepada ibu bapa di rumah.
BACA LAGI: Terpaksa berhenti kerja jaga orang tua, bukan sekadar tanggungjawab tetapi juga kemampuan
BACA LAGI: Pusat aktiviti warga emas Gombak dibuka 2025
Ada sahabat kongsi, rate daily maid service jaga mak dia yang dah berusia di rumah.
1 jam = >RM25
1 hari = >RM200.
Dengan bertambah populasi orang tua di negara kita, pekerjaan ini sedang booming. Demand tinggi.
Terutama yang jaga mak ayah sakit di rumah ketika anak bekerja.
— Faisal Rahim (@acaiijawa) April 18, 2025
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2022, jumlah warga emas berusia 60 tahun ke atas dijangka meningkat kepada 15.3 peratus daripada jumlah populasi menjelang 2030, menjadikan Malaysia sebuah negara tua secara rasmi.
Perubahan demografi itu turut memberi tekanan kepada ahli keluarga yang bekerja sepenuh masa dan tidak mampu memberikan penjagaan rapi kepada ibu bapa mereka.
Dengan peralihan gaya hidup masyarakat moden dan pertambahan warga emas, profesion sebagai penjaga warga emas bukan lagi satu tugas remeh, malah dilihat sebagai satu kerjaya mulia dan sangat diperlukan dalam komuniti masa kini.
Satu ciapan oleh pengguna laman X (Twitter) dengan nama akaun Faisal Rahim baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila berkongsi bahawa kadar bayaran pembantu yang menguruskan keperluan warga emas boleh mencecah lebih RM200 sehari, walaupun di luar Lembah Klang.
Dia berkongsi pengalaman sahabatnya mengupah pembantu rumah secara harian untuk menjaga ibu yang menghidap dementia di Perak.
Walaupun warga emas tersebut tidak terlantar, penjagaan rapi masih diperlukan kerana faktor usia dan keadaan mental yang merosot.
“Satu jam (dibayar) lebih RM25, sehari (dibayar) lebih RM200. Dengan bertambah populasi orang tua di negara kita, pekerjaan ini sedang booming. Demand tinggi," tulisnya.
Keperluan terhadap perkhidmatan penjagaan warga emas berkualiti semakin meningkat, meskipun di kawasan luar bandar. — Gambar hiasan
Situasi itu sekali gus mencerminkan satu realiti baharu dalam landskap penjagaan warga emas negara, yang mana khidmat penjagaan harian kini menjadi satu bentuk pelaburan penting bagi anak-anak bekerja, terutama jika ibu bapa memerlukan perhatian khusus sepanjang hari.
Menurut Faisal lagi, harga tersebut masih dianggap mampu milik berbanding jika keluarga memilih untuk mendapatkan khidmat jururawat pakar atau penjaga profesional yang sudah terlatih dalam bidang kejururawatan, dengan kosnya jauh lebih tinggi.
Perkongsian itu mendapat reaksi pelbagai netizen yang turut berkongsi pengalaman serupa, seterusnya menggambarkan fenomena peningkatan kos dan keperluan terhadap perkhidmatan penjagaan warga emas berkualiti, meskipun di kawasan luar bandar.
Ujar pengguna X dengan nama akaun @markisah_pico, bapa saudaranya mengupah dua jururawat untuk menjaga isterinya yang terlantar dan mengalami dementia teruk, dengan bayaran RM8,000 sebulan.
Bagi @HidayaCJ pula, dia mengupah pembantu untuk menemani seorang warga emas membuat pemeriksaan berkala di hospital.
"Saya bagi kadar satu jam RM25 untuk teman seorang warga emas (yang boleh berjalan) ke hospital di kawasan Cheras.
"Selalunya akan jadi PA (pembantu peribadi) kepada warga emas itu. Biasanya memerlukan kerja fizikal, strategi untuk memudahkan warga emas tersebut.
"Anda juga kena faham rantaian penyakit yang biasa dialami golongan ini. Jadi, RM25 sebenarnya agak murah,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram