
MAJLIS perkahwinan merupakan momen manis meraikan penyatuan dua hati menjadi pasangan suami isteri. Daripada merisik, bertunang, menikah sehingga resepsi semuanya dirancang dengan teliti dan sarat tradisi agar kenangan majlis tersemat kemas dalam memori.
Salah satu elemen semakin menjadi trend pada majlis perkahwinan adalah dengan kehadiran pengiring pengantin perempuan (bridesmaid) kebiasaannya terdiri dalam kalangan sahabat baik ataupun ahli keluarga.
Kehadiran mereka disifatkan menyerikan suasana majlis, apatah lagi bergaya dalam persalinan sedondon dari hujung rambut hingga hujung kaki. Selain rambut didandan rapi, wajah pula dirias dengan solekan menawan.
Perbincangan dan saling menghormati antara pengantin dan bridesmaid perlu dilakukan agar majlis perkahwinan berjalan lancar. — Gambar hiasan/SYAZWANI AMIR
Namun, timbul persoalan bagi memastikan pengiring pengantin kelihatan cantik dan sedondon ibarat kembar siapa yang sewajarnya menanggung kos dari pakaian, perkhidmatan solekan dan dandanan mereka? Adakah pengantin atau bridesmaid itu sendiri?
Sehubungan itu, Majoriti baru-baru ini mendapatkan reaksi daripada beberapa wanita berkongsi pengalaman dan pendapat mengenai perkara tersebut.
Bagi pempengaruh dan model, Dewi Radin berpendapat bahawa kos mempersiapkan bridesmaid agar kelihatan anggun adalah terletak pada pengantin itu sendiri.
"Saya pernah menjadi bridesmaid, tetapi kami pula yang perlu cari baju sendiri mengikut tema. Agak susahlah tambahan ketika itu masih belajar tiada bajet.
"Jadi, pendapat saya, biarlah pengantin yang menyediakan semuanya," katanya yang turut memberitahu pengantin harus bertanggungjawab memastikan para pengiring rasa dihargai dan tidak terbeban dengan kos perbelanjaan.
Ema (kiri) dan Dewi berpendapat pengantin perlu menanggung kos para pengiringnya. — Instagram/@emamohd & @dewiiiiradin
Selain itu, seorang lagi model, Ema Mohd yang bakal melangsungkan perkahwinan juga menyatakan kos bridesmaid perlu ditanggung oleh pengantin.
Dian memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan yang lebih intim. Justeru, tidak memerlukan bantuan bridesmaid.
"Saya tiada bridesmaid kerana majlis kecil-kecilan sahaja," katanya yang hanya menggunakan khidmat pembantu pengantin pada hari perkahwinannya.
Beliau lebih suka rakan-rakannya hadir sebagai tetamu meraikan mempelai bukannya perlu 'bekerja' untuk hari istimewa itu.
Senada dengan Dewi dan Ema, Farah Azman juga berasakan pasangan raja sehari perlu bertanggungjawab menyediakan segala keperluan bridesmaid agar mereka tidak terbeban.
"Kalau ikutkan, pengantinlah perlu bertanggungjawab kerana rakan-rakan sudi meluangkan masa membantu memudahkan urusan mereka (pengantin) pada hari majlis," ujarnya.
Bagaimanapun, terdapat juga pandangan sekiranya kos dibiayai bridesmaid sekiranya mereka yang secara sukarela mahu membantu pengantin.
"Jika rakan secara sukarela ingin menjadi pengiring pengantin, saya rasa okey sekiranya mereka membeli kelengkapan sendiri," jelas seorang usahawan, Adzmin Shah.
Selain itu, jumlah bridesmaid yang terlibat dalam sesebuah majlis perkahwinan juga mempengaruhi perbelanjaan kos.
Dari kiri: Farah, Adzmin dan Afifah berpendapat jumlah bridesmaid tidak perlu terlalu ramai bagi mengelakkan kos perbelanjaan yang tinggi. — Instagram/@dianfarra, @adzminshah & @princesa3290
Bag Afifah Shaifuddin, pengiring pengantin tidak perlu lebih daripada sembilan orang, memadai melibatkan ahli keluarga dan rakan baik sahaja.
Beliau mengakui, jumlah bridesmaid terlalu ramai lebih daripada 10 orang misalnya, bimbang membebankan kos kewangan pengantin kelak.
Bagi wanita yang mempunyai ramai kawan, beliau menasihati agar pengantin memilih sahabat baik dan ahli keluarga menjadi bridesmaid.
"Mungkin ada yang berkecil hati dan sedih tidak terpilih, jadi lebih baik pilih bridesmaid dalam kalangan ahli keluarga dan rakan terdekat," katanya.
Walau apapun siapa sewajarnya menanggung kos bridesmaid perlu dibincangkan secara matang dan dua hala antara pengantin dan pengiring. Setiap pasangan mempunyai keutamaan dan bajet berbeza-beza. Keputusan seharusnya mengambil kira kemampuan kewangan secara keseluruhan supaya mana-mana pihak tidak terbeban. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram