
PADA usia 26 tahun, Hannah Hazri memilih untuk kembali ke akar dan menyambung legasi keluarga dalam perniagaan.
Selepas hampir setahun berkhidmat di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pemegang Ijazah Sarjana Muda Biokimia daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) itu kini aktif menerajui bahagian eksport dan hubungan agensi bagi syarikat tempatan, Al-Meswak Mu'min Sdn Bhd (Mu'min).
Jenama ini menghasilkan pelbagai produk penjagaan diri dan seisi rumah, ubat giginya antara yang paling laris dalam kalangan konsumer tempatan.
“Saya sertai program Felo Perdana selepas tamat pengajian dan ditempatkan di pejabat Menteri Sains dan Teknologi.
"Dalam tempoh itu, saya terlibat dengan penggubalan dasar serta pelaksanaan program kementerian,” jelas Hannah kepada Majoriti mengenai pengalaman awal kerjayanya di MOSTI sekitar 2022.
Selepas tamat tempoh program, anak sulung daripada enam beradik itu mengambil keputusan untuk menyertai perniagaan keluarganya secara sepenuh masa.
Walaupun pada asalnya wanita itu mengambil bidang biokimia untuk menceburi pembangunan produk (R&D) di syarikat milik bapanya, Datuk Zaihal Hazri Abdul Halim, beliau kini lebih menumpukan usaha memperkukuh pasaran sedia ada.
“Saya cadangkan kepada ayah agar kita tangguhkan dahulu penghasilan produk baharu.
"Fokus kami sekarang adalah perluaskan pasaran untuk lebih 100 SKU (unit simpanan stok) produk sedia ada,” jelasnya.
Perniagaan syarikat Mu'min mula mendapat perhatian Hannah sejak beliau di bangku sekolah, dengan minatnya terhadap dunia keusahawanan juga semakin berkembang tahun demi tahun.
“Saya memang minat berniaga sejak sekolah antaranya saya dan rakan-rakan pernah membuat servis jual dan hantar hadiah hari guru.
"Namun ketika itu ayah mahu saya fokus terhadap akademik terlebih dahulu,” katanya.
Kini, memegang antara peranan penting dalam syarikat, Hannah diberi kepercayaan untuk mengendalikan urusan bersama agensi kerajaan dan pengembangan eksport.
Antara agensi yang banyak membantu adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan beberapa lagi.
Eksport
Selepas terhenti seketika akibat pandemik Covid-19, Hannah kini kembali mengorak langkah dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa melalui produk Mu’min.
Menurut Hanah, syarikatnya mula menjalankan aktiviti eksport seawal 2018 ke beberapa negara seperti China, Iraq, Indonesia dan Thailand. Namun, segalanya terhenti sejurus pandemik melanda dunia.
Tahun lalu, Hannah membawa jenama tersebut ke pelbagai ekspo perdagangan antarabangsa termasuk di China dan Dubai, bagi mencari peluang baharu serta menjalin hubungan perniagaan strategik.
"Kita dah ada inquiry, cuma belum betul-betul eksport lagi sebab baru bermula semula tahun lepas," katanya menambah antara produk ditawarkan seperti ubat gigi dewasa dan kanak-kanak, termasuk kategori functional toothpaste untuk gigi sensitif dan pemutihan.
Beliau turut berkongsi bahawa pasaran Timur Tengah kini menunjukkan minat yang tinggi terhadap produknya, khususnya produk halal yang diyakini dan berkonsepkan Muslim.
"Contohnya macam China, walaupun ia bukan negara Islam, sambutan terhadap produk berjenama Muslim sangat menggalakkan," ujar Hanah.
Legasi muda
Hannah (berdiri, kanan) mendapat inspirasi keusahawanan daripada bapa dan ibunya.
Menolak tanggapan sesetengah pihak yang mempersoalkan penglibatannya dalam syarikat warisan, beliau melihatnya sebagai satu peluang besar, bukan sekadar kelebihan.
Ini kerana katanya, semakin ramai pegawai agensi kerajaan bangga melihat penyertaan aktif anak muda sebagai penyambung legasi keluarga.
Beliau berkongsi pengalaman dihantar ke United Kingdom (UK) oleh Pernas dan SME Corp pada Disember tahun lalu untuk mengikuti program latihan eksport di University of Swansea selama 10 hari.
Akuinya, ia satu bentuk pengiktirafan terhadap usahawan pelapis generasi baharu.
"Mereka nampak kami bersungguh dan mereka sendiri nak menawarkan peluang.
"Kebanyakannya beritahu ayah saya, mereka tidak mahu hantar pengasas, tapi anak sebab nak lihat pelapis generasi kedua yang boleh pergi jauh,” ujarnya.
Di sebalik kejayaan dalam dunia perniagaan dan eksport, usahawan muda itu turut mencuri perhatian sebagai seorang speaker motivasi, moderator dan aktivis belia yang aktif berkongsi inspirasi terutama kepada golongan wanita dan anak muda.
Menurut Hannah, minatnya terhadap bidang motivasi dan pembangunan insan sudah mula berputik sejak di universiti lagi.
Beliau banyak melibatkan diri dalam program berkaitan belia dan wanita seperti Sidang Wanita Pulau Pinang, Sidang Wanita Selangor, Gadis Inspirasi Selangor dan program Felo Perdana.
“Itu memang minat saya selain berniaga. Saya suka berkongsi dan memberi semangat kepada golongan belia, terutamanya pelajar sekolah dan wanita muda,” jelasnya.
Meskipun kini tidak lagi memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan belia, Hannah tetap aktif dijemput sebagai penceramah dan moderator dalam pelbagai program, malah kerap berkongsi di platform media sosial seperti Instagram.
Lebih menarik, beliau memulakan perjalanannya sebagai penceramah secara inisiatif sendiri sejurus selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), apabila dirinya dan beberapa rakan mengambil langkah proaktif mengadakan sesi motivasi ke sekolah-sekolah menengah.
“Pencapaian akademik waktu itu agak baik, jadi saya rasa bertanggungjawab untuk beri inspirasi kepada pelajar lain. Kami buat inisiatif sendiri, bukan di bawah mana-mana persatuan pun,” bicaranya.
Sumber inspirasi
Hannah turut aktif sebagai speaker motivasi, moderator dan aktivis belia.
Bekerja di bawah satu bumbung bersama keluarga bukanlah sesuatu yang mudah bagi sesetengah individu, apatah lagi apabila perlu melapor terus kepada bapa sendiri.
Namun bagi Hannah, pengalaman itu merupakan satu kelebihan dan sumber inspirasi dalam perjalanannya sebagai pelapis generasi kedua dalam dunia keusahawanan.
Walaupun mengakui ada cabaran tersendiri, beliau melihat peluang bekerja dengan bapa sebagai pengalaman yang banyak mematangkannya dalam dunia bisnes.
“Saya memang utamakan ayah dalam apa juga keputusan. Tidak pernah saya melangkaui keputusan beliau. Cuma kalau ada idea-idea baru, saya akan kongsikan dengan ayah,” jelasnya.
Sebagai contoh, Hannah mendedahkan bagaimana beliau memainkan peranan dalam memperkenalkan strategi pemasaran digital dan e-dagang kepada syarikat yang sudah lebih dua dekad beroperasi secara tradisional.
“Saya siap buat slaid pembentangan untuk pujuk ayah. Mungkin sebab latar belakang saya dalam bidang sains, jadi memang biasa back up semua hujah dengan fakta dan data.
"Saya bentangkan semua, daripada jenis produk, sambutan pasaran hingga statistik jualan,” katanya sambil tertawa kecil.
Usahanya nyata membuahkan hasil apabila bapa memberi kepercayaan penuh dan ruang untuk melaksanakan strategi baharu seperti penjualan dalam talian, penyertaan dalam platform siaran langsung serta penglibatan dalam pameran antarabangsa.
“Ayah saya bukanlah ketinggalan zaman. Dia pun aktif di Facebook, jadi konsep pemasaran digital bukan benda yang asing.
"Cuma kena tunjuk kesungguhan dan bukti kenapa kita perlu bergerak ke arah itu,” tambah Hannah.
Menariknya, usahawan itu bukan sahaja mendapat inspirasi daripada bapanya sebagai ahli perniagaan veteran, malah turut menjadikan ibunya, seorang bekas doktor gigi dan pemilik klinik pergigian selama lebih 20 tahun sebagai model kejayaan.
“Saya nampak bagaimana ibu dan ayah saya boleh fleksibel urus masa untuk keluarga walaupun masing-masing ada bisnes sendiri.
"Itu yang menginspirasikan saya untuk jadi usahawan sejak awal,” bualnya.
Kini, dengan produk Mu’min yang sudah berada di lebih 8,000 outlet termasuk rangkaian besar, Hannah terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh legasi keluarga sambil membawa pendekatan yang lebih segar dan sesuai dengan landskap perniagaan masa kini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram