
MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) di bawah bidang kuasanya.
Pusat itu dijangka menjadi tempat popular bagi mereka yang berumur lebih 60 tahun selepas kira-kira 170 pendaftaran direkodkan semasa pra pelancarannya.
Kemudahan pusat meliputi ruang permainan indoor seperti karom, ruang istirahat dilengkapi kerusi urut berbayar, ruang belajar, surau, dapur dan tandas mesra orang kurang upaya (OKU).
BACA LAGI: Peniaga jus kurkumin diangkat jadi Ikon Usahawan OKU Selangor edisi ke-5
Amirudin (dua kiri) menyantuni warga emas yang bermain karom pada majlis pra-pelancaran Pawe.
Pada majlis pelancaran itu, Yang Dipertua (YDP) MPS, Shahman Jalaludin berkata, kerja-kerja pembinaan bermula Februari tahun lepas.
Ia memanfaatkan 0.58 hektar tanah kerajaan dan mempunyai kawasan binaan seluas 4,387 kaki persegi.
Pawe Sungai Tua terletak di Jalan Laksamana 2, Taman Gombak Permai, Selangor.
Berdasarkan piawaian reka bentuk yang mampan, pusat itu dilengkapi dengan sistem penuaian solar dan hujan.
Pusat yang boleh memuatkan 150 orang itu akan diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) MPS dan merupakan hasil kerjasama strategik antara MPS dan syarikat pembinaan, Rexpoint Resources Sdn Bhd.
JKM Gombak turut terlibat dalam projek tersebut.
Pelbagai aktiviti percuma merangkumi aspek kesihatan, sosial, ekonomi dan kerohanian akan dijalankan di pusat berkenaan.
Walaupun walk-in dialu-alukan, pelawat digalakkan untuk mendaftar supaya mereka boleh menyertai jemputan ke mana-mana acara dan program akan datang.
Pusat itu dibuka pada pukul 9 pagi hingga tengah hari pada hari bekerja dan dijangka beroperasi bermula Januari 2025.
Terdapat 150 Pawe di seluruh negara yang mana 18 daripadanya terletak di Selangor.
Pawe, yang dahulunya dikenali sebagai pusat jagaan orang tua, ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 2002.
Kerusi urut berbayar adalah salah satu kemudahan yang disediakan di Pawe.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang menjadi tetamu kehormat pada majlis pra-pelancaran Pawe cawangan Sungai Tua berkata, pusat itu ditubuhkan tepat pada masanya kerana Malaysia secara demografi beralih ke arah populasi yang semakin tua.
“Pada 2008, jangka hayat biasa ialah 68 tahun tetapi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan angka terkini meningkat kepada 78 tahun.
“Itu adalah petanda yang baik kerana ia menunjukkan kita telah berkembang dalam hal berkaitan kemudahan penjagaan kesihatan, pendidikan dan kesedaran.
“Selaras dengan ini, kemudahan untuk warga emas adalah perlu supaya mereka dapat melakukan aktiviti sihat,” katanya.
Amirudin berkata, pendekatan holistik bagi kemudahan awam, prasarana dan dasar pembangunan berhubung keperluan warga emas akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri.
Beliau berkata, kebajikan warga emas terletak di bawah bidang kuasa Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.
“Pihak berkuasa tempatan juga perlu menjalankan kajian bagaimana mewujudkan ekosistem lengkap yang akan menampung keperluan asas dan perubatan warga emas.
“Kita pernah melakukan perkara itu untuk tadika. Kini kita perlu melakukan perkara yang sama untuk Pawe,” katanya.
Meluahkan harapannya mengenai cara beliau ingin menghabiskan masa tuanya, Amirudin, bapa kepada enam orang anak itu berkata, selain menebus masa yang terluang bersama anak-anak, dia juga tidak sabar untuk bermain dengan cucu-cucunya termasuk mengusahakan ladangnya dan menghabiskan lebih banyak masa di masjid.
“Saya juga mahu kekal rapat dan dikelilingi oleh komuniti saya. Tak elok hidup bersendirian,” katanya.
Pra-pelancaran Pawe Sungai Tua itu dijalankan seiring dengan majlis pecah tanah Kompleks Islam Wira Damai yang terletak berhampiran pusat berkenaan.
Kompleks yang diusahakan Projek Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) itu dijangka siap menjelang 2027 dan mampu menampung 2,700 orang.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim turut menyampaikan replika cek berjumlah RM20,000 kepada Pawe Sungai Tua bagi tujuan pembelian peralatan. — The Star/ GRACE CHEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram