
MENERUSI senarai bilionair dunia 2025 yang dikeluarkan Forbes baru-baru ini, wakil golongan wanita dilihat masih agak kecil.
Bagaimanapun, di sebalik situasi tersebut, bilangan kau hawa yang tersenarai dilaporkan terus menunjukkan peningkatan positif.
Tahun ini, seramai 406 daripada 3,028 bilionair di dunia adalah wanita, iaitu meliputi 13.4 peratus daripada keseluruhan individu yang tersenarai.
BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara
Jumlah itu membawa nilai keseluruhan mencecah $1.2 trilion (RM5.52 trilion).
Angka berkenaan menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 369 orang pada tahun 2024, atau 13.3 peratus.
Berikut adalah senarai lima wanita terkaya dunia mengikut Senarai Bilionair Forbes 2025.
1. Alice Walton
Alice Walton. — Agensi
Jumlah kekayaan: $101 Bilion (RM464.6 bilion)
Alice Walton, 75, ialah anak tunggal kepada Sam Walton, pengasas Walmart, syarikat peruncitan terbesar di dunia.
Alice dilahirkan pada 10 Oktober 1949 di Amerika Syarikat dan beliau merupakan ahli keluarga Walton yang mendominasi sektor peruncitan global.
Walaupun keluarga Walton telah mengumpul kekayaan yang besar melalui Walmart, Alice lebih memilih untuk menjalani kehidupan agak berbeza berbanding saudara-maranya.
Wanita ini tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan Walmart, tetapi beliau lebih dikenali dengan peranannya dalam dunia seni.
Beliau ialah pengasas Crystal Bridges Museum of American Art di Bentonville, Arkansas.
Melalui muzium tersebut beliau berusaha untuk meningkatkan akses terhadap seni di negara Uncle Sam itu.
Walaupun tidak aktif dalam dunia perniagaan keluarga, kekayaan Alice masih besar hasil daripada penguasaan terhadap saham Walmart yang diwarisinya.
2. Francoise Bettencourt Meyers
Francoise Bettencourt Meyers. — Agensi
Jumlah kekayaan: $81.6 Bilion (RM375.4 bilion)
Francoise Bettencourt Meyers, 71 adalah cucu kepada pengasas syarikat kecantikan L'Oréal, Eugène Schueller yang diasaskan pada 1909.
Beliau dilahirkan pada 10 Julai 1953 di Perancis. Francoise mewarisi sebahagian besar harta keluarganya setelah ibu beliau, Liliane Bettencourt, meninggal dunia pada 2017.
Ia termasuk menjadi pemegang saham terbesar L'Oreal yang kini merupakan salah satu syarikat kosmetik terbesar di dunia.
Selain itu, beliau juga terlibat dalam beberapa projek kebajikan dan seni.
Francoise mengendalikan yayasan keluarga Bettencourt Meyers, yang memberi fokus kepada seni dan budaya.
3. Julia Koch
Julia (kanan) dan suaminya yang merupakan pengasas Koch Industries. — Agensi
Jumlah kekayaan: $74.2 Bilion (RM341.3 bilion)
Julia Koch, 62, adalah isteri mendiang David Koch, seorang ahli perniagaan terkenal di Amerika Syarikat yang merupakan pemiliki bersama kepada Koch Industries, syarikat konglomerat terbesar di dunia.
Julia dilahirkan pada 12 April 1962 dan berkahwin dengan David Koch pada tahun 1996.
Setelah kematian David pada 2019, Julia dan anak-anaknya mewarisi 42 peratus saham dalam Koch Industries.
Koch Industries merupakan syarikat yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai industri, termasuk tenaga, kimia, dan perkilangan.
Walaupun Julia tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat, beliau tetap memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan syarikat dan perniagaan keluarga.
Dengan kekayaan yang diwarisi, Julia tetap menjadi salah seorang wanita terkaya di dunia.
4. Jacqueline Mars
Jacqueline Mars. — Agensi
Jumlah kekayaan: $42.6 Bilion (RM195.96 bilion)
Jacqueline Mars, 85, adalah ahli keluarga di sebalik syarikat gula-gula terbesar, Mars Incorporated.
Beliau dilahirkan pada 10 Oktober 1945 dan merupakan anak kepada Forrest Mars Sr., yang mengasaskan syarikat tersebut pada 1911.
Jacqueline adalah salah seorang pewaris utama syarikat Mars, yang terkenal dengan produk-produk seperti M&M's, Snickers, dan Mars Bar.
Mars Incorporated, yang kini dimiliki oleh keluarga Mars, adalah sebuah syarikat global yang menguasai pasaran gula-gula, makanan, dan minuman.
Selain itu, Jacqueline turut terlibat dalam pelbagai usaha filantropik, termasuk pendidikan dan alam sekitar.
Beliau juga aktif dalam bidang pelaburan dan penyelidikan makanan dan kesihatan.
5. Rafaela Aponte-Diamant
Rafaela Aponte-Diamant. — Agensi
Jumlah kekayaan: $33 bilion (RM151.8 bilion)
Rafaela Aponte-Diamant, 80, merupakan pengasas bersama syarikat Mediterranean Shipping Company (MSC) yang merupakan syarikat perkapalan terbesar di dunia.
Berasal dari Switzerland, beliau memperoleh kekayaannya daripada pegangan 50 peratus saham di MSC, iaitu satu perusahaan yang diasaskan Gianluigi Aponte yang juga seorang kapten kapal asal Itali pada 1970.
Pasangan itu yang bertemu di Capri, Itali dan memulakan syarikat berkenaan dengan membeli kapal kargo pertama menggunakan pinjaman $200,000 (RM920,000).
Perusahaan tersebut berkembang menjadi salah satu syarikat pengangkutan terbesar di dunia, dengan operasi merangkumi melibatkan 900 kapal.
Ia juga memiliki sekurang-kurangnya 260 laluan perdagangan dengan kehadiran di lebih 520 pelabuhan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram