Besarkan bisnes, perbanyak staf pemasaran, perancangan usahawan wanita jika terima bantuan kewangan


  • Relaks
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Mengambil lebih ramai kakitangan dalam unit pemasaran juga boleh mengembangkan sesebuah perniagaan. — Gambar hiasan/Freepik

MEMULAKAN perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila berdepan kekangan kewangan.

Modal besar sering kali menjadi penghalang utama, terutamanya bagi usahawan yang baru menapak dalam dunia keusahawanan.

Namun begitu, kewujudan pelbagai bentuk bantuan daripada pihak kerajaan dan agensi bukan kerajaan (NGO) sedikit sebanyak membuka ruang dan memberi sinar harapan kepada mereka yang ingin mengembangkan perusahaan masing-masing.

BACA LAGI: [VIDEO] Gen Z sanggup berhabis untuk 'travel' berbanding membeli barangan mewah

BACA LAGI: Hargai 13 tahun pertama, tempoh didikan ibu bapa paling berharga bersama anak-anak

Selain kasut, Izwani Salim turut mengusahakan perniagaan berkaitan pakaian.

Menyedari kepentingan sokongan kewangan dalam dunia perniagaan masa kini, Majoriti menemu bual beberapa usahawan wanita pelbagai bidang bagi mengetahui bagaimana mereka merancang memanfaatkan bantuan yang diterima.

Menurut Pengarah Urusan Azam Motor Banting, sebuah syarikat mengendalikan automotif dan tenaga pengajar bidang terbabit, Mastina Mohd Sani berkata, beliau akan memanfaatkan wang tersebut dengan membantu lebih ramai lagi pengikutnya.

Bagi beliau, bantuan kewangan bukan sekadar modal tambahan tetapi peluang untuk memperluas pasaran melalui strategi digital.

"Walaupun saya sudah ada pelbagai aplikasi media sosial, tetapi saya mahu lebih ramai pengikut untuk mengembangkan bisnes saya lagi.

"Saya tidak kisah walaupun sudah berusia lebih 50 tahun, namun saya masih mahu menimba ilmu lagi," kata beliau.

Mengulas lanjut, tidak dinafikan terdapat pihak yang mengganggap wanita sering menjadi 'mangsa' penipuan dalam bidang automotif.

"Mungkin dengan ada live di TikTok, saya boleh membantu golongan wanita yang enggan datang ke bengkel kerana takut ditipu. Jadi saya boleh membantu mereka melalui sesi soal jawab di platform media sosial," tambanya.

Bukan mudah membangunkan perniagaan sendiri tanpa bantuan daripada pihak-pihak tertentu. — Gambar hiasan/Freepik

Sementara itu, pengusaha sebuah jenama kasut sejak tahun 2020, Izwani Salim merancang menggunakan dana sebagai modal produk dan pembukaan cawangan baharu.

“Kalau boleh, saya nak elak pinjaman. Bantuan macam ni boleh bantu usahawan untuk bertahan dan berkembang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang tenaga pengajar dalam bidang kewangan, Zaiyani menekankan pentingnya menarik generasi muda dalam operasi syarikatnya.

"Saya akan besarkan bisnes saya dan akan mengambil lebih ramai pekerja khusus dalam unit pemasaran.

“Saya nak ambil staf muda sebab mereka lebih berani dan kreatif dalam pemasaran digital. Tetapi kami juga perlu tawarkan pakej kerja yang menarik supaya mereka setia," kata beliau.

Bagi tenaga pengajar bidang rundingan imej, Natty Noordin, bantuan yang diterima akan digunakan untuk sumbangkan semula kepada komuniti.

“Zaman sekarang semuanya digital. Saya nak kongsikan ilmu saya dan capai lebih ramai pengikut di media sosial," ujar beliau yang sudah berada dalam industri sejak 2004.

Bagi pengusaha bidang kosmetik dan gubahan, Yatie Aziz, beliau menyimpan impian menjadi pengasas produk sendiri.

“Kalau dapat bantuan, saya nak kembangkan produk dan capai cita-cita hasilkan lipstik jenama saya. Selebihnya, saya nak bantu keluarga dan mereka yang memerlukan," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram