
RAMAI ibu tidak menyedari bahawa kesilapan dalam posisi penyusuan menjadi punca utama kepada masalah kesakitan dan luka pada puting semasa menyusukan bayi.
Kaunselor Laktasi Bertauliah, Nad Masrom berkata, kesalahan paling biasa dilakukan adalah apabila ibu memegang bayi dalam posisi yang tidak selari, iaitu badan bayi menghadap ke atas dan bukannya ke arah ibu.
Menurutnya, apabila posisi tidak selari, kepala bayi akan teleng dan menyebabkan dia tidak boleh melepaskan payudara dengan mudah kerana refleks hisapan yang aktif.
BACA LAGI: Menyusu bayi 'direct' atau botol, ibu kena fahami dulu fitrah anak
BACA LAGI: Miskin melampau antara punca bayi berhenti menyusu
"Ini menyebabkan bayi menarik puting, lalu berlakunya geseran yang boleh mencederakan puting ibu,” katanya menerusi satu rakaman yang dimuat naik di Instagram milik ML Studios yang dikongsikan semula Nad Masrom.
Tambah beliau, jika bayi dipegang dengan betul iaitu kepala, leher dan badan dalam satu garis lurus dan menghadap ibu, lekapan akan menjadi lebih efektif.
Ujarnya, dengan lekapan yang baik, bayi tidak akan menarik puting dan ibu tidak akan mengalami kesakitan.
Tongue-tie
Selain posisi salah, masalah tongue-tie atau lidah pendek juga menjadi penyebab utama ibu mengalami kesakitan sewaktu menyusu.
Tongue-tie ialah keadaan yang mana lapisan frenulum di bawah lidah bayi terlalu ketat sehingga menyukarkan lidah bergerak secara normal.
“Dalam kebanyakan kes, bayi dengan tongue-tie jenis satu dan dua mengalami masalah lekapan yang teruk.
"Ibu akan mengadu rasa sakit pada tahap tujuh daripada 10 setiap kali menyusukan anak,” ujarnya lagi.
Menurutnya, apabila lidah bayi tidak boleh bergerak ke atas, bayi akan bergelut untuk melekap dengan betul dan akhirnya menggunakan gusi atau rahangnya bagi mendapatkan susu.
Nad Masrom aktif berkongsi ilmu tentang teknik penyusuan yang betul kepada ibu bapa.
“Ini menyebabkan payudara ibu ditekan dengan kuat, terutamanya pada kawasan puting hingga boleh menyebabkan luka yang teruk,” katanya.
Dalam kes seperti itu, penilaian lanjut perlu dilakukan oleh doktor pakar kanak-kanak atau doktor gigi.
Beliau menambah, jika tongue-tie tersebut pada tahap tiga atau empat dan tidak mengganggu penyusuan, selalunya hanya perlu membaiki posisi.
Namun sekiranya memang menghalang pergerakan lidah bayi, rawatan release perlu dilakukan.
"Selepas prosedur tersebut, kebanyakan bayi dapat menyusu dengan lebih baik dan ibu tidak lagi mengalami kesakitan serius," katanya.
Masalah tongue-tie juga menjadi penyebab utama ibu mengalami kesakitan sewaktu menyusu.
Puting sensitif
Nad turut menekankan bahawa terdapat juga kes ibu mempunyai kulit puting yang sangat sensitif dan mudah mengalami kekeringan.
Dalam kes ini, beliau mencadangkan ibu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan krim khas.
“Jika tiada masalah posisi, lekapan betul, bayi tiada tongue-tie dan puting tidak sensitif, tapi ibu masih rasa sakit mungkin bayi terlalu lama menyusu dan sebenarnya sedang mengempeng,” katanya.
Mengempeng merujuk kepada keadaan bayi menyusu bukan untuk mendapatkan susu tetapi menenangkan diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram