
BERBUSANA baju kurung dan kebaya, sekumpulan atlet sukan ragbi wanita di Johor mencuri perhatian apabila meraikan Syawal di sebuah gimnasium.
Biarpun berpakaian sopan persis wanita Melayu terakhir, kesemuanya mempamerkan kekuatan luar biasa apabila masih mampu mengangkat peralatan senaman seperti dumbbell dan barbell.
Perkongsian itu dimuat naik oleh seorang atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Johor yang mewakili negeri itu bagi acara ragbi.
BACA LAGI: Ratu Rock, pemuzik legenda Jepun bersatu! Kyoji Yamamoto 'goreng' gitar di konsert 30 tahun Ella USA
Difahamkan, momen itu merupakan kenangan ketika menyambut Aidilfitri tahun lalu apabila kesemua kontinjen negeri berkenaan diminta berkumpul untuk sesi berfoto sempena hari raya.
Kembali tular di platform sosial sejak beberapa hari lalu, rata-rata warga maya amat mengagumi komitmen dan kebolehan atlet berkenaan dalam melakukan senaman berat itu.
"Kalau macam ni boleh minta perempuan angkat tong gas la, semua gagah perkasa nampaknya," kata Amin.
"Rupanya ditipu selama ni, golongan wanita setakat angkat berat 50kg tu apa la sangat, dumbbell pun dia angkat kat gimnasium," ujar Umar Mukhtar.
"Aku ditipu oleh isteri rupanya, kuat mereka ni sebenarnya, selama ni berpura-pura tak larat itu ini," tambah Shah.
Sekadar info, skuad Johor muncul juara bagi kategori ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki SUKMA selepas membelasah Terengganu 29-0 pada edisi tahun lalu.
Kali terakhir Johor muncul juara adalah pada edisi 1994 di Perak yang ketika itu mempertandingkan ragbi 10 sebelah (10s).
Sementara itu, Selangor pula muncul juara kategori wanita selepas mengecewakan Sarawak 12-7 sekali gus menebus kekecewaan pingat perak pada edisi di Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram