[VIDEO] Pesakit kanser tahap 4 kini mampu berbasikal 30km, amalan jus hijau antara kunci pemulihan


  • Relaks
  • Ahad, 20 Apr 2025

Tangkap layar perkongsian seorang pempengaruh tentang tip kesihatan bapanya sebagai pesakit kanser tahap empat.

SEORANG pesakit kanser tahap empat yang pada awalnya sukar untuk berjalan, kini mampu mengayuh basikal sejauh 30 kilometer (km) hasil gabungan rawatan perubatan, pemakanan dan gaya hidup sihat.

Menurut anaknya, Al Hisyam yang merupakan seorang pempengaruh di platfom sosial, bapanya disahkan menghidap kanser prostat tahap empat yang dikatakan telah merebak ke bahagian tulang, paru-paru dan hati.

Penyakit itu dikesan selepas bapanya mengalami beberapa simptom seperti hilang selera makan, keletihan, perubahan emosi serta penurunan berat badan yang mendadak sehingga lebih 10 kilogram dalam masa sebulan.

BACA LAGI: Menopaus, dimensia, wanita seawal usia 49 tahun antara kumpulan berisiko tinggi

BACA LAGI: [VIDEO] Anak merengek nak buai 24 jam, pakar jelaskan teknik hayunan tenteramkan bayi

"Pada mulanya kami sangka ia hanyalah perubahan biasa akibat faktor umur, tapi apabila ayah mula sukar bernafas, kerap ke tandas dan berat badannya terus menyusut, kami sedar ada sesuatu yang tidak kena," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Sabtu.

Hasil pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) serta prosedur endoskopi dan kolonoskopi dijalankan, pakar mengesahkan kehadiran tumor yang berpunca dari kelenjar prostat telah merebak ke kawasan berbahaya.

"Setelah mendapatkan pandangan daripada beberapa pakar termasuk pakar urologi, gastroenterologi, onkologi dan pakar bedah kolorektal, kami sekeluarga membuat keputusan untuk memilih rawatan terapi hormon.

"Prosedur ini paling kurang invasif dan berkesan untuk kanser prostat kerana ia sensitif terhadap perubahan hormon. Alhamdulillah, ayah memberi tindak balas yang baik," katanya.

 

 

 

Perubahan gaya hidup jadi kunci pemulihan

Selepas dibenarkan keluar hospital, fasa pemulihan di rumah bermula dengan penekanan kepada gaya hidup sihat, termasuk pengambilan makanan anti-radang dan pengurusan tekanan.

Jelas Al Hisyam, bapanya mula mengamalkan diet rendah karbohidrat, tiada gula, serta bebas makanan terproses dan bahan perisa tiruan.

Selain daripada pemakanan, rutin senaman bapanya turut dipantau dari segenap sudut seperti regangan, teknik pernafasan, serta berjemur di bawah cahaya matahari pagi setiap hari.

Sokongan suplemen dan disiplin tinggi

Dalam usaha meningkatkan sistem imun badan, Al Hisyam turut memberikan beberapa suplemen termasuk CoQ10, probiotik, melatonin, vitamin D dan K, magnesium, B-kompleks serta minyak ikan.

Tidak mengabaikan saranan pihak hospital, kesemua suplemen itu diambil di bawah pemantauan doktor bertauliah.

Biarpun masih dalam tempoh rawatan, perkongsian itu merungkai beberapa faktor yang boleh membawa kepada proses pemulihan pesakit kanser iaitu keinginan untuk sembuh, pemahaman terhadap punca penyakit dan persekitaran yang positif.

Bapanya ketika disahkan menghidap kanser prostat tahap empat hasil ujian CT Scan dijalankan pihak hospital.

"Tubuh manusia dicipta dengan sistem yang sangat sempurna. Jika kita fahami puncanya dan ubah gaya hidup kita, insya-ALLAH tubuh akan kembali berfungsi dengan baik.

"Lupa nak sebut, ayah saya juga mengamalkan minuman jus hijau dan campuran halia dengan kunyit setiap hari," ujarnya.

Menggabungkan rawatan moden di samping diet dan gaya hidup sihat, Al Hisyam berharap agar pengalaman bapanya mampu dijadikan insipirasi dan kesedaran buat masyarakat untuk tidak berputus asa walaupun berdepan diagnosis penyakit serius. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram