
SEMPENA tiga dekad album Ella USA, ratu rock Malaysia Ella, 59, atau nama lengkapnya Nor Zila Aminuddin bakal kembali menggegar industri muzik tanah air menerusi sebuah konsert mega pada 17 Mei nanti.
Bertempat di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, peminat yang hadir bakal disajikan dengan nyanyian bertenaga di samping petikan gitar dan susunan muzik khas dari gitaris legenda Jepun, Kyoji Yamamoto.
Berperanan sebagai penerbit, penulis lagu dan pemuzik pada konsert itu, kerjasama dua negara tersebut diyakini mampu menghadirkan suasana berbeza dan jauh lebih hebat berbanding persembahan Ella sebelum ini.
BACA LAGI: Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota jawapan teka-teki Ella 'blackout' di Instagram
BACA LAGI: Ella, suami rugi RM10,000, tanaman cili musnah akibat banjir
Ella ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur pada Selasa berkata, konsert tersebut diibaratkan seperti sebuah hadiah khas buat diri dan seluruh peminat yang sentiasa menyokong karya seninya.
Ella (dua dari kanan) bersama barisan penaja sidang media yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur pada Selasa.
“Ini satu konsert yang sangat unik dan dihargai ramai pihak, ini sebuah hadiah untuk saya dan semua yang terlibat khususnya peminat.
“Gabungan dengan gitaris Jepun ini sangat berbeza, seronok dan benda tu sangat susah nak dapat sekarang menjadikan perjalanan konsert ini lain daripada lain.
“Lagu-lagu dalam album Ella USA ni memang semua kegemaran saya, semua dapat perhatian ramai dan masing-masing ada peminat tersendiri,” katanya.
Lebih 10 album dan ribuan tiket persembahan laris dijual di seluruh Asia, konsert istimewa itu akan menyaksikan Ella tampil di puncak kegemilangannya, mempersembahkan lagu-lagu ikonik dari album Ella USA bersama koleksi lagu hit terbaiknya.
Dikenali dengan auranya memukau dan karisma menawan, konsert pertama Ella pada 2025 dijangka menjadi sebuah acara penuh bermakna, sekali gus mengekalkan legasinya sebagai penyanyi rock hebat tanah air.
Tiket konsert penuh bersejarah itu kini boleh mula dibeli menerusi laman web rasmi rwgenting.com.
Harga tiket bermula dari RM389 untuk kerusi VIP, RM349 (PS1), RM269 (PS2), RM189 (PS3) dan RM99 (PS4).
Sementara itu, ahli Genting Rewards Card berpeluang menikmati diskaun tetap sebanyak 10 peratus melalui pembayaran tunai, kad kredit atau penebusan Mata Ganjaran Genting yang hanya sah bagi pembelian tiket VIP, PS1, PS2 dan PS3. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram