
JAUH dari kesibukan dan hiruk-pikuk kota, gadis tempatan asal Sekinchan, Selangor, Syasya Syahirah Nor Azmi, 28, memilih untuk belayar dan mengembara ke seluruh lautan dunia secara solo.
Meninggalkan kerjaya model peragaan dan fesyen diceburinya, Syasya memilih untuk beralih ke bidang pengembaraan yang telah lama diminatinya sejak dari kecil.
Menjadikan lautan biru sebagai destinasi, bekas pelajar jurusan Sains Sukan itu memutuskan untuk menjelajah dunia menerusi aktiviti pelayaran yang pada dasarnya dilihat cukup berbahaya buat golongan wanita.
Syasya Syahirah gemar berkongsi momen dan aktiviti pelayarannya menerusi platform Instagram.
Minat itu tercetus selepas kali pertama melancong ke Curacao, sebuah kepulauan Caribbean di Belanda yang cukup indah dan mempersonakan pada 2023.
Mula mempelajari selok-belok aktiviti penyelenggaraan bot dan akitiviti pelayaran, Syasya bagaikan dipanah cinta apabila terus menjalankan misi meneroka lautan itu hingga ke hari ini.
Terbaharu, Syasya difahamkan sedang dalam misi 20 hari menjelajah ke lautan pasifik dan kini sedang belayar di French Polynesia.
Sering memuat naik perkongsian di laman Instagram peribadinya, pengikutnya sentiasa disajikan dengan pemandangan landskap indah dan aktiviti pelayaran yang amat mengagumkan.
Walaupun berseorangan di tengah lautan, ia tidak menghalang Syasya untuk terus menikmati momen indah itu di samping pelbagai aktiviti menarik dilakukan seperti memasak, berswafoto dan bercerita menerusi kamera.
Dalam pada itu, Syasya sebelum ini pernah menjalankan sebuah perniagaan minuman berasaskan kesihatan iaitu 'Gadis Lemonade'.
Kerap terlibat dalam program dan acara jualan sekitar ibu negara, perniagaan itu difahamkan masih beroperasi hingga ke hari ini dan diuruskan oleh rakan niaganya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram