Remaja Sabah raih tempat ke-3 pertandingan pidato di UK, tewaskan ribuan peserta dari 138 negara, subjek Sejarah sumber inspirasi


  • Relaks
  • Sabtu, 19 Apr 2025

SEGELINTIR pelajar lazimnya menganggap subjek Sejarah membosankan dan ketinggalan zaman.

Namun, bagi Nurul Nadiirah Naquyyah Jusinin pula sebaliknya. Pelajar Kolej Vokasional (KVC) Keningau, Sabah, itu menyifatkan bahawa mata pelajaran tersebut kunci utama untuk membina masa depan lebih cerah dan sejahtera.

Berpegang pada keyakinan itu secara tidak langsung mendorong remaja berusia 18 tahun berkenaan menyampaikan pidato bertajuk 'To Thwart a War is to Educate the Young', yang berjaya melonjakkan nama Malaysia. Ia berikutan beliau meraih tempat ketiga pada pertandingan pidato antarabangsa 'Conversation on Conflict' di United Kingdom (UK).

BACA LAGI: [VIDEO] Jejaka UK disayangi bapa mentua, layan macam anak sendiri bagai menatang minyak yang penuh

BACA LAGI: M. Nasir pernah hadiahkan 13 keping dinar emas sebagai mas kahwin, lepas 25 tahun nilai melonjak lebih RM20,000

Lebih membanggakan, pelajar itu merupakan satu-satunya peserta Malaysia yang menduduki tempat tiga teratas daripada ribuan penyertaan dari lebih 138 buah negara.

Pertandingan tersebut menjemput golongan belia berusia sembilan hingga 18 tahun menghasilkan pidato secara kreatif bertemakan 'Bagaimana Kita Boleh Mencegah Perang di Masa Hadapan'.

Dalam teks pidatonya yang penuh bermakna, Nurul Nadiirah menegaskan bahawa sejarah bukan sekadar subjek akademik, tetapi merupakan cerminan kesilapan dan pengorbanan pejuang pada masa lampau.

"Sejarah adalah salah satu mata pelajaran yang paling penting untuk dipelajari, fahami dan renungkan. Kita mesti mengakui keamanan dinikmati hari ini merupakan hasil pengorbanan nenek moyang kita," katanya dalam ucapan.

Beliau turut menekankan bahawa pendidikan berasaskan nilai kemanusiaan adalah kunci dalam membentuk generasi pemimpin masa depan berfikiran kritikal, penuh empati dan berkeupayaan menyelesaikan konflik secara aman.

"Banyak peperangan berlaku kerana propaganda dan maklumat mengelirukan, kita perlu memupuk pemikiran kritis, rundingan dan empati bermula dari usia muda.

"Tidak wujud kanak-kanak yang nakal, mereka hanya bernasib malang, jika setiap daripada mereka diberikan pendidikan berkualiti, dunia akan menjadi tempat lebih baik dan selamat," ujarnya lagi.

Pengiktirafan antarabangsa dan sokongan tempatan

Para hakim organisasi Never Such Innocence (NSI) turut memuji mutu penyampaian pidato remaja tersebut.

Jasleen Singh, pemegang amanah NSI yang juga merupakan bekas juara pertandingan itu menyifatkan ucapan tersebut karya yang sangat bagus dan berjaya mengutarakan hujah-hujah menarik dengan berkesan.

Pertandingan berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif global NSI untuk melibatkan golongan muda dalam wacana berkaitan konflik, keamanan dan sejarah melalui empat kategori kreatif iaitu puisi, seni, lagu dan pidato.

Pengarah KVC, Lumang Lang turut memuji pencapaian Nurul Nadiirah dan menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dan kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar vokasional yang ingin berjaya di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, kejayaan itu seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam semua aliran pendidikan, termasuk vokasional.

Menuju masa depan gemilang

Merupakan pelajar tahun tiga jurusan Teknologi Elektrik, Nurul Nadiirah menganggap pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi simbol harapan untuk golongan belia di Malaysia.

"Saya amat berbesar hati dan berterima kasih. Saya berharap suara saya mewakili ramai anak muda Malaysia yang percaya kepada keamanan dan pendidikan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram