
DALAM sesebuah perkahwinan, tidak mustahil cinta yang dahulu mekar boleh pudar seiring waktu.
Persoalan mengapa cinta boleh hilang sering menjadi perbincangan, apatah lagi apabila pasangan yang dahulunya penuh dengan kasih dan sayang akhirnya menjadi asing antara satu sama lain.
Pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin menerusi perkongsian di sebuah stesen radio baru-baru ini menjelaskan, fenomena itu boleh melibatkan beberapa faktor utama yang menjadi pemadam api cinta dalam rumah tangga.
1. Kelalaian menjaga agama
Suami isteri perlu meletakkan agama sebagai nombor satu dalam keluarga. — Gambar hiasan
Menurut Asmak, cinta dalam perkahwinan mula hilang apabila pasangan mulai lalai dalam urusan agama.
Pada awalnya, niat membina rumah tangga sudah cukup baik, namun dalam perjalanan, banyak gangguan yang melalaikan.
"Kita tidak letakkan agama nombor satu dalam keluarga. Solat pun cincai-cincai, tak berjemaah, tak fokus kepada pembangunan spiritual dalam keluarga. Akhirnya hati jadi keras.
"Kekerasan hati inilah yang membuka ruang kepada bisikan syaitan untuk membuatkan pasangan melihat cinta lain lebih menggoda, manakala cinta dalam rumah tangga terasa membebankan," ujar beliau.
2. Pengabaian hak dan tanggungjawab
Setiap pasangan perlu memahami peranan masing-masing agar kasih kekal subur dalam rumah tangga. — Gambar hiasan
Menurut Asmak, cinta yang utuh tidak cukup hanya dengan rasa, tetapi perlu diperkukuh dengan tanggungjawab dan pemenuhan hak.
Apabila keperluan asas seperti nafkah tidak ditunaikan, akan menyebabkan hubungan mula retak.
“Cinta-cinta juga, tapi kalau perut lapar? Kalau suami tidak tunaikan nafkah, isteri pula tidak hormat suami, maka cinta itu perlahan-lahan akan pudar,” jelasnya.
Setiap pasangan perlu memahami peranan masing-masing agar rasa hormat dan kasih kekal subur dalam rumah tangga.
3. Sikap peribadi yang merosakkan
Perasaan ego akan menyebabkan hubungan suami isteri menjadi medan persaingan. — Gambar hiasan
Sikap negatif yang nampak kecil tetapi tidak ditangani dengan baik juga antara sebab utama cinta suami isteri memudar.
Asmak menambah, antaranya termasuk sikap suka mengungkit atau membandingkan pasangan dengan orang lain dan enggan meminta maaf apabila melakukan kesilapan.
“Kalau dua-dua ego, masing-masing nak menang, nak betul saja, akhirnya hubungan itu jadi medan persaingan. Bukannya menyokong, tapi saling melemahkan.
"Perbuatan kecil seperti suka membebel, tidak menjaga kebersihan bilik tidur atau tidak peduli pasangan juga menyumbang kepada runtuhnya kasih sayang," ulas beliau.
Asmak turut mengingatkan bahawa cinta bukanlah sesuatu yang kekal dengan sendirinya, sebaliknya ia perlu sentiasa dipupuk.
Cinta jika tidak dibaja, akan hilang seolah debu, tanpa kita sedar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram