
CINTA itu indah, tetapi tidak selamanya ia mampu menjadi pelindung sebuah rumah tangga.
Dalam satu sesi podcast yang menyentuh jiwa, dua pelakon terkenal tanah air, Neelofa dan Nora Danish berkongsi pandangan jujur tentang hakikat perkahwinan yang bukan sekadar berkisarkan tentang cinta, tetapi tentang asas sebenar yang berpaksikan keimanan dan tanggungjawab.
Meskipun sering menjadi tumpuan kerana kehidupan glamor masing-masing, kedua-dua figura itu tampil dengan sisi lebih peribadi dan reflektif.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya modal RM150, ibu 3 anak tunjuk skil DIY buat 'wall skirting'
Mesej mereka jelas iaitu jangan terlalu memuja cinta hingga lupa siapa yang menciptakan rasa itu sendiri.
Bagi Nora Danish, perkahwinan yang dibina semata-mata kerana cinta manusia tidak akan membawa seseorang ke mana-mana jika tiada pegangan yang kukuh.
“Bila kita kahwin kerana cinta, cinta itu yang akan melukakan anda.
“Kalau kita kahwin kerana ALLAH, walaupun klise bunyinya tetapi jalan menuju ALLAH itu indah. Saya baru faham perkara ini bila sudah melaluinya sendiri.
“Cinta kepada manusia tidak akan kekal. Tapi cinta kerana ALLAH, insya-ALLAH... akan bawa kita lebih jauh," tambahnya.
Neelofa pula melihat aspek tanggungjawab sebagai tunjang utama dalam memilih pasangan hidup.
Kata pelakon filem Pilot Cafe itu, cinta bukan hanya tentang perasaan berbunga-bunga tetapi tentang kefahaman terhadap peranan sebagai suami, isteri dan hamba Tuhan.
“Saya selalu pesan pada adik saya yang masih bujang apabila mahu kahwin, cari lelaki yang faham tanggungjawab.
"Bukan tanggungjawab cari duit semata-mata. Tapi tanggungjawab sebagai hamba ALLAH. Bila lelaki tu tahu peranan dia sebagai suami, banyak benda jadi mudah," katanya.
Neelofa turut berkata, rupa paras atau pekerjaan bukanlah keutamaan dalam memilih pasangan, sebaliknya nilai dalam diri dan prinsip hidup itulah yang paling penting.
“Masa saya kenal suami saya (PU Riz), beza umur kami enam tahun. Waktu itu dia masih belajar dan bekerja pun bukan full-time. Tapi saya nampak jelas dia faham prinsip hidup dan agama.
"Saya nampak bagaimana dia dibesarkan. Saya tengok ayah dia pimpin keluarga… dari situ saya tahu dia ada asas yang kukuh," katanya.
Neelofa dan PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021.
Kini mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Muhammad Bilal, 3, dan Abdullah Abbas, 2. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram